Dah 44 wallaweiiii
Hmmmm…. Diam tak diam rupanya dah 44 tahun aku menghirup udara di muka bumi ini. Aku sangat bersyukur Ya Allah atas kurniaan umur ini. Dan tidak lupa juga Terima Kasih kepada Arwah Emak dan Ayah yang telah bersusah payah nak besarkan aku ni.
Aku Kaki Mandi Sungai
Apa tak susahnya nak besarkan aku…. Dulu aku ni budak kampung yang selalu sangat main sungai sampai 1 badan berbau lumpur tak hengat!!
Tak akan aku lupa, ‘gang kampung’ yang sentiasa bersama aku bila ada masa free aje mesti pergi ke port masjid lama atau surau atau belakang rumah kak halus atau kat kampung sebelah sana, kampung semeriut , tempat aku berkubang. Dah tu berkubang tak hengat dunia. Dari air sungai surut ke pasang dan hingga ke surut semula aku masih jadi ikan duyung jantan kat sungat tu. Sampai merah mata aku ni macam jin sungai dah. Tak reti-reti nak balik. Aku rasa, buaya pun takut tengok kita orang ni yang tak tau nak balik rumah. Ha ha ha..
Balik rumah memang pastiiiii sangat.. Mendapatlah aku 'hadiah' free-free aje dari emak. Tak pasal-pasal merasalah kaki dan bontot aku rotan dari emak!
Aku Kena Jadi Ketua
Masa time sekolah rendah atau time sekolah petang kita orang sekolah agama, memang penatlah Cikgu Leha nak melayan kita orang. Rasanya memang dah letih nak layan kita orang ni. Mana taknya... Tetiba aje hilang kat dalam kelas sebab pergi main bola dan entah apa-apa lagilah yang kita orang buat.
Baju sekolah yang cantik putih macam salji tu sampai jadi macam belacan dibuatnya. Baunya tak boleh nak cakaplah. Painggggg yang amat busuk…. Mesti ada juga anda yang pernah jadi macam saya kan masa kecil-kecil dulu. Budak-budak... Biasalah tu kan! Ha Ha Ha..
Dan agaknya lah kan sebab itulah aku kena lantik oleh Cikgu Bedul jadi ketua kelas. Sebab itulah kot, ‘sumpahan’ dari cikgu Bedul, aku pegang rekod jadi Ketua Kelas (dulu kita panggil Ketua Darjah) dari sekolah rendah sampai ke sekolah menengah.
Orang lain tak ada can nak ambil alih jawatan tu. Dan aku sure mesti budak-budak lain hangin dengan aku agaknya…. But sorry lah gang , aku ‘menang tanpa bertanding’ bila pilihanraya kelas. Tak tahulah sebab apa.. Dia orang malas nak jadi ketua ke atau aku yang bagus jadi ketua ? Ha Ha Ha.. Bab tu aku tak sure….
Tapi bagus jugak bila aku fikir-fikir balik. Dari punishment jadi ketua darjah tu lah aku jadi manusia hari ini. Kalau tak, apalah nasib aku sekarang ni kan... Bila dah pegang jawatan ni, slowly aku rasakan diri ini ada responsibility. Thanks Cikgu Bedul… Jasamu ku kenang….
Straight 'B' Pulak
Kesian aku pada emak dan ayah sebab emak ayah harapkan aku dapat sekolah keluar dari kampung. Yelah, zaman dulu-dulu kan memang emak ayah semua kalau boleh nak anak-anak dia belajar luar dari kampung. Kira hebatlah kalau anak-anak berjaya belajar luar dari kampung.
Dengan result Periksa Darjah 5, kawan aku Enal dapat 5A, dia dapat lari keluar dari kampung, ke Sekolah Alam Shah Cheras. Tapi.... Aku dapat 5B, secara paksa rela aku ke Sekolah SARSI Pagoh aje leee. Ok laaa kan, kata kawan baik…
Enal dapat 5 aku pun dapat 5 walaupun dia dapat A aku dapat B.. Hu hu hu, statement nak sedapkan hati…. Tapi kira ok laa kan, ‘budak sungai’ dan ‘gang lastik’ dapat 5B. Aku rasa ni berkat ‘rotan emak’ aku bertaubat dah main sungai!
Aku gembira Enal sekarang dah jadi Dr Zainal , doktor pakar emergency di Kuantan.. Dan aku pula.... Aik.. Belum sampai masa lagi cerita aku sekarang.. Kan kita tengah imbas-imbas kisah lama-lama dulu.. Ha Ha Ha..
Sekolah Menengah Lagi Rare
Aku menikmati kehidupan yang sangat best semasa sekolah menengah. Aku jadi ketua kelas lagi masa Tingkatan 1, 3, 4 dan 5. Masa tu, gang aku pulak pengawas-pengawas dan kita orang jadi ahli PRS (Pembimbing Rakan Sebaya)..
Kita orang feeling sangatttt, Mana taknya, jadi permata sekolah beb, budak sains lagi.. Boleh kata semua jawatan besar sekolah kita orang pegang.
Member baik aku, Joey jadi ketua pengawas lelaki. Sekarang dah jadi ASP @ ACP di Bukit Aman sana, terbaik Joey. Ko memang ada bakat jadi gangster bertauliah bro!
Leha pula jadi ketua pengawas perempuan, ni pun kawan aku. Kerja tak rasmi dia adalah jadi posmen untuk bagi surat cinta pada awek aku. Tapi, lastnya Leha ni lah jadi bini aku, he he he. I love you sayang!
Nama awek tak boleh sebut kat sini, sebab dah mati bersemadi di hati! Dan ada lagi a few name yang tak dapat aku sebut kat sini. Nanti aku buat cerita bab korang pulak eh! Jangan merajuk pula kau tak masukkan nama korang.
Sebagai budak kampung, kerja aku pergi balik sekolah.. Itu aje.. Kemana lepas ni nak pergi ?? Aku pun tak tahu... Jangan cakap atau tanya laa nak masuk U mana? Blank! Kosong otak aku ni… Aku sendiri tak terfikir akan semua tu..
Mujur laaa ada anak angkat ayah, Abang Nasir (alfatihah untuk arwah). Dia laa yang selalu ‘lecture’ kat aku bila dia cuti semester UITM. Dia yang tanya, Yan… Nanti nak further belajar kat mana? Nak jadi apa? Dia yang cerita kalau score subject ini, boleh sambung belajar kat sini. Kalau nak jadi kerjaya ini, kena score subject ini. Agaknya dia tahu… yang aku ni malas nak belajar.
Yang aku tahu, pergi-balik sekolah aje. Tapi berkat ‘lecture’ dia jugalah, aku merempit study last minit dalam SPM sehingga aku dapat offer masuk Sekolah Dato di Muar dalam sains stream yang dalam kelas tu hany ada beberapa orang aje budak melayu. Dan 2 orang aje wakil dari SARSI yang sekolah kat situ, aku dan Ah Seong.
Pengorbanan Ayah Aku
Belum lagi kisah nak masuk UTM.. Ni pun satu hazab. Modal nak masuk U pun tak ada masa tu. Tapi, demi pelajaran aku, terpaksa ayah pajakkan tanah hadiah dari kerajaan pada Ah Seong (kalau tak silap nama dia) untuk dapatkan modal aku nak masuk U.. Sedih beb…. sob sob sob.. Pengorbanan seorang ayah buat anaknya. Aku takkan pernah lupa apa yang ayah korbankan untuk kepentingan dan masa depan aku.. Tak nak cerita laaa, nanti aku nangis…
Aku tahu …… Aku tak boleh lagi main-main. Aku pikul satu tanggungjawab yang besar. Aku tak boleh biarkan pengorbanan emak ayah aku jadi sia-sia. Harapan ayah emak terlalu tinggi untuk anak nya ini.. Seorang anak dia, wakil anak Aman DO dapat masuk U.. Mudah-mudahkan akan mengubah profile keluarga Aman DO
Dengan azam dan tekad yang baru dan cekal, aku cuba selesaikan tugas aku untuk dapatkan sijil Diploma dan Degree dalam Civil Engineering. Dan hadiah yang tak ternilai adalah aku berjaya lulus exam jadi Professional Engineer pada usia aku 30 tahun. Kejayaan inilah yang membolehkan aku ada gelaran Ir. Sofian. Secara tak langsung menjawab soalan sindiran kaum di FB yang betul kah aku punya Ir?
Kiranya aku ni antara anak muda Melayu yang ‘awal usia’ dapat Ir tau! Tapi aku buat bukan nak show off kat orang pun.. Ini semua adalah untuk satisfaction diri sendiri, tak perlu untuk nak bangga-banggakan. Aku cuma nak orang tahu yang aku juga asal dari kampung, dan tak ada magic pun untuk berjaya. Asalkan berusaha dan berusaha terus kerana perjalanan kita masih jauh dan panjang. Mungkin kisah aku ni serba sedikit boleh jadi sumber inspirasi untuk orang lain juga berjaya.
Melangkah Alam Bisnes
Selepas itu, aku melangkah dalam kancah perniagaan seawal usia 31 tahun. Berniaga pun pakai belasah aje, ikut instict, ikut gerak direction dari Allah. Berkat doa Bini, keluarga, Emak, Ayah dan semua aku berjaya mengorak langkah sebagai Kontraktor Binaan Kelas D dan memiliki Syarikat Pembuatan Plastik Packaging (Vacuum Forming).
Asalnya semuanya berjalan dengan lancar dan baik sehingga tahun 2006 aku dilanda krisis dengan partner aku dan akhirnya aku decide untuk tinggalkan semua tu. Panjang cerita ni, tapi sesuatu yang menarik dalam sejarah hidup aku yang aku ikat simpul rapat-rapat dalam diri aku bila nak berniaga dan deal dengan orang.
Saban hari aku sedih dan menangis mengenangkan apa yang telah berlaku. Tapi, Allah itu Maha Berkuasa. Allah tunjukkan aku untuk membaca buku motivasi yang akhirnya membakar otak aku untuk bangkit semula untuk hidup. Buku ini yang sangat terkesan dalam situasi aku masa tu, iaitu buku ‘Membina Imaginasi Cemerlang’ - Dr HM Tuah dan ‘Jutawan Senyap’ – Chef Li.
Aku bangkit semula dengan menjual kek coklat (chocolate moist) dan puding hasil air tangan bini aku, Chef Leha. Masa tu aku jadi despatch naik motor elegent sebab kapasiti motor ni boleh hantar 40 pcs sekali deliver.
Masa ini jugaklah aku dirikan semula pillar perniagan aku yang baru. Dan masa inilah tertubuhnya syarikat Perunding Kejuruteraan Kezo Consult.
Tahun 2008 aku touch 1st million , sebagai anak kampung ini adalah sesuatu yang di luar kotak pemikiran sebelum ini. Tapi berkat restu dan doa orang tua dan keluarga, Allah izinkan. Sebenarnya banyak lagi cerita perjalanan yang lagi mencabar yang aku redahi.
Pengalaman keluarkan product minuman herba emas cotek, sendiri dengan brand K’Zees secret, jadi pengeluar baja organik dan macam-macam lagi. Nanti aku story eh!. Nak kena korek balik sejarah silam yang penuh erti ini.
Selain daripada itu, penglibatan aku dalam bidang pelaburan emas pada tahun 2009-2010 sehingga membawa aku ke tahap sekarang memiliki Akademi Jutawan Logam ( #AkademiJL ) sejak tahun 2011. Pada tahun ini jugalah aku bertemu dengan Dr Azizan dan sahabat baik aku Jerry Rizal yang telah mengubah aku cara melihat dunia ini dalam perspektif yang berbeza.
Sesungguhnya….
Allah itu Maha Kaya
Allah itu Maha Pengasih
Allah itu Maha Pemberi
Aku bersyukur atas nikmat kurniaanmu Ya Allah
Pada usia 44 hari ini, banyak rupanya pengalaman hidup ini yang telah Kau izinkan untuk aku merentasinya. Aku tahu pelbagai cabaran dan dugaan bakal menanti. Aku tahu ianya tidak akan berhenti. Aku tahu juga segalanyanya yang Allah beri itu memberi Erti tersendiri..
Aku akan cuba terus berbakti selagi Kau bantu untuk ku gagahi. Selagi nafas dipinjamkan untuk terus berdiri …
Pesanan untuk aku sendiri dan kepada sahabat di alam maya..
"Jangan berhenti untuk terus berusaha, Jangan kecewa dengan apa yang telah terluka, Jangan berhenti untuk meminta pada Allah sebagai Pencipta, Jangan takut untuk bermimpi dan memberi"
Salam Sayang
Ir Sofian
6 Julai 2017
12 Syawal 1438