Pernah tak anda selidiki siapakah nama insan yang namanya dinukilkan dalam surah al-Quran walaupun dia bukanlah nabi, dan bukanlah rasul?
Dia adalah Luqman al-Hakim yang merupakan seorang wali atau hamba soleh yang dianugerahi hikmah dalam pemahaman tentang agama, akal, dan hemat dalam berkata-kata.
Walaupun terdapat banyak pendapat dan khilaf dalam ulama’ membahaskan apakah sebenarnya pekerjaan bagi Luqman al-Hakim ini, sama ada sebagai qadi, tukang jahit, tukang kutip kayu api, penternak atau tukang kayu.
Namun apa yang pasti dia adalah seorang hamba yang diangkat namanya ke dalam Quran kerana hikmahnya dalam menasihati anaknya tentang kehidupan. Oleh sebab kebiasaan kisah di dalam Quran adalah mengenai kisah atau sejarah nabi dan rasul, serta keagungan Allah swt.
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
(Luqman 31:12)
7 Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya termaktub dalam Quran:
1. Tidak Mempersekutukan Allah Dengan Perbuatan Syirik
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
(Luqman 31:13)
2. Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa & Bersyukur
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Luqman 31:14)
3. Menolak Dengan Cara Baik Jika Ibu Bapa Menyuruh Sesuatu Yang Bertentangan Syarak
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
(Luqman 31:15)
4. Allah Akan Balas Setiap Perbuatan Baik & Buruk Walau Sekecil Zarah
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
(Luqman 31:16)
5. Laksanakan Solat, Lakukan Amar Makruf Nahi Mungkar & Bersabar Dengan Ujian
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
(Luqman 31:17)
6. Tidak Memandang Rendah & Sombong Diri
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Luqman 31:18)
7. Bersederhana Ketika Berjalan & Menjaga Tutur Kata
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.
(Luqman 31:19)
Ini adalah beberapa nasihat yang telah Allah angkat ke dalam Quran untuk tatapan hambanya yang lain sepanjang zaman. Namun, banyak lagi nasihat yang diberikan oleh Luqman al-Hakim kepada anaknya selain 7 nasihat yang tertulis di dalam Quran.
Pernah tak anda mendengar kisah mengenai dua anak beranak yang pergi ke pasar menunggangi keldai dan apa kata orang disekeliling mereka ketika itu? Kalau nak tahu, ia adalah kisah mengenai Luqman al-Hakim dan anaknya.
Ketika mana Luqman duduk di atas keldai dan anaknya mengikutinya dari belakang dengan berjalan kaki, maka orang yang melihat situasi tersebut berkata, “Lihat orang tua itu yang membiarkan anaknya berjalan kaki sedangkan dia menunggangi keldai.”
Setelah mendengar akan bicara tersebut, Luqman pun turun dan meletakkan anaknya di atas keldai, sementara dia berjalan kaki. Selepas itu, muncul orang lain pula berkata, “Lihat anak muda itu yang kurang ajar kerana menyuruh orang tuanya berjalan kaki, sedangkan dia menunggangi keldai.”
Maka, Luqman pun terus naik ke atas keldai tersebut dan sama-sama menunggangi bersama anaknya. Namun, masih lagi ada yang berkata, “Lihat dua orang itu yang mengunggangi keldainya hingga tersiksa keldai itu membawanya.”
Dan akhirnya, Luqman pun turun bersama anaknya dan berjalan kaki. Tapi masih lagi ada yang berkata, “Lihat dua orang itu yang berjalan kaki, sedangkan ada keldai tapi tak ditunggangi. Buat apa mereka bawa keldai kalau tak ditunggangi.”
Dalam perjalanan pulang ke rumah, Luqman menasihati anaknya tentang sikap orang-orang yang asyik memberi teguran sepanjang perjalanan mereka ke pasar.
“Sesungguhnya kita tidak akan terlepas dari kecaman atau celaan orang lain. Hanya orang yang berakal tidak akan ambil pertimbangan melainkan hanya kepada Allah swt. Barang siapa yang mendapat pertunjuk kebenaran dari Allah, itulah yang akan menjadi pertimbangannya dalam mengambill keputusan.”
Dan Luqman berpesan lagi,
“Wahai anak kesayanganku, carilah rezeki yang haal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya orang fakir itu akan ditimpa 3 perkara, iaitu keyakinannya berkurang (iman) tentang agamanya, akalnya melemah (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemulaian hatinya (keperibadianya).”
Lihat, terlalu banyak sebenarnya nasihat yang diberikan oleh Luqman al-Hakim kepada anaknya tentang kehidupan. Buat ibu bapa, anda boleh jadikan nasihat Luqman ini sebagai panduan anda dalam mendidik anak-anak anda. Dan jadikan ia sebagai panduan untuk anda menjadi ibu bapa dan hamba yang lebih baik kepada Penciptanya.
Berhikmahlah dalam berkata-kata, bersopanlah dalam memberi nasihat, didiklah anak dengan cara yang terbaik dan bersyukur serta bersabarlah dalam setiap ujian yang dihadapi kerana kita hanyalah hambaNya di muka bumi ini.