Tidak lama lagi kita akan memasuki fasa puasa walaupun tempoh perintah kawalan pergerakan masih lagi berkuatkuasa. Nampaknya puasa kali ini memang lain dari pengalaman puasa-puasa sebelum ini. Jika sebelum ini kita jenis yang rajin ke masjid dan surau untuk sahur dan berbuka, dapat mengurangkan beli makanan di bazaar ramadhan dan memasak di rumah, tapi kali ini bertukar 360 darjah perubahannya.
Sebab apa saya cakap macam tu?
Sebab kita dalam tempoh PKP lagi. Dan saya pasti tempoh PKP ini akan berlanjutan lagi sehingga raya nanti. Sebab kalau PKP dihentikan masa raya, orang akan berpusu keluar ziarah menziarahi rumah sedara mara, kawan-kawan, pergi rumah terbuka, bekerja dan selagi mana kes covid-19 masih lagi ada yang aktif, selagi itu tak mustahil ia akan kembali menular dengan lebih dahsyat.
Oleh itu, kenalah kita persiapkan diri untuk hadapi puasa dan raya ini dengan PKP. Jika sekiranya Allah takdirkan doa-doa kita dimakbulkan semasa puasa, wabak ini dapat dihapuskan, alhamdulillah. Tapi jika tidak, janganlah terlalu kecewa. Buatlah sebaik mungkin untuk mengumpul amalam di bulan puasa nanti.
Apakah yang anda boleh lakukan sepanjang bulan puasa ini nanti? Mungkinlah ibadah-ibadah yang membawa kepada pergi masjid, berjemaah di masjid tak dapat dilaksanakan. tapi rasanya banyak lagi yang dapat kita lakukan walaupun di rumah.
Tidak kiralah di mana anda berada, di rumah sendiri, di rumah sewa, di kampung bersama keluarga, di IPT, anda tetap dapat lakukan amalan di bawah ini semasa bulan puasa nanti.
1. Bersahur
Amalan bersahur adalah sesuatu yang dituntut. Jika anda dapat bersahur, walaupun hanya dengan sebiji kurma dan segelas air, tetap mendapat keberkatan sahur tersebut.
Sabda Rasulullah saw :
“Bersahurlah kalian, karena pada sahur itu ada keberkatan.” (HR. Bukhari)
2. Banyakkan Berdoa
Orang yang berpuasa darjatnya tinggi di sisi Allah, maka doanya juga akan diangkat oleh Allah. Waktu dalam bulan Ramadhan ni lah kita kena perbanyakkan berdoa lebih-lebih lagi 10 malam terakhir.
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. (HR Ibn Majah)
3. Banyakkan Bersedekah
Amalan bersedekah adalah amalan yang mulia dan salah satu amalan yang dapat menambahkan rezeki. Dalam bulan puasa, kita boleh juga bersedekah dengan memberi makan untuk orang berbuka.
“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu” (HR Nasa’i dan Tirmidzi)
4. Segerakan Berbuka
Sunat Nabi di bulan puasa ialah menyegerakan berbuka dan tidak melengah-lengahkannya. Dalam musim PKP ni, bila duduk di rumah ni sudah tentulah dapat berbuka bersama keluarga. Walaupun hanya seteguk air dan sebiji kurma pun dah elok sebelum mengerjakan solat maghrib.
Rasul ada bersabda dalam hadisnya:
“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” (HR Bukhari dan Muslim)
5. Mengingatkan Kepada Kebaikan
Tidak semestinya bola duduk di rumah, tak dapat keluar, kita tak dapat nak menyuruh kepada kebaikan. Gunakan media sosial yang kita ada untuk mengajak kenalan-kenalan kita kepada kebaikan. Elakkan bercakap perkara yang tidak berfaedah, yang lagha dan melalaikan. Oleh kerana kita berpuasa ini bukanlah kerana untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal nafsu dan rohani kita.
“Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan mengamalkannya maka Allah sudah tidak lagi memerlukan dia meninggalkan makanan dan minumannya.” (HR Bukhari)
6. Menahan Marah
Puasa kita akan lebih bermakna jika kita dapat menahan diri kita dari sifat pemarah. Kadang-kadang bila duduk terkurung dalam rumah, emosi kita mungkin jadi kurang stabil dan mulut kita juga lepas cakap. Lagi-lagi asyik scroll facebook, ig, twitter dan tengok benda-benda yang buat hati nak marah.
Jika anda rasa nak marah, pergila ambil wuduk, lakukan solat dan mengajilah untuk tenangkan hati.
“Puasa adalah perisai. Maka janganlah dia berkata-kata kotor dan berbuat bodoh. Apabila ada orang lain yang memerangi atau mencacinya, hendaklah dia katakan, ‘Aku sedang puasa’ (dua kali).” (HR Bukhari)
7. Bangun Sepertiga Malam
Masa PKP ni lah bila tak bekerja, tak rushing nak kerja esoknya, boleh lah kita menghidupkan kembali sepertiga malam dengan qiamullail. Bangunlah tengah malam untuk bermunajat, mengaji, bertaubat, bertahajjud, dan mengerjakan banyak amalan sunat lain.
Dapat pula 10 malam terakhir kita kerap bangun maam dan hidupkan malam kita dengan beribadah, semoga Allah kurniakan kita dengan malam lailatul qadar, ampunkan dosa kita dan keluarkan kita semua dari wabak corona ni.
Daripada ‘Aisyah RA, beliau menyatakan bahawa apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya. (Sahih al-Bukhari).
Sebenarnya banyak lagi amalan lain yang boleh kita lakukan seperti bertadarus anak beranak, laki bini, kawan sebilik, atau bersama keluarga di talian. Dan banyak lagi yang boleh dilakukan. Duduk di rumah dan mengelakkan mudharat pada orang lain juga satu ibadah.
Semoga kita bersiap sedia menempuh alam puasa yang baru buat kita kali ini. Inilah pengalaman puasa yang bakal kita ceritakan semula pada anak cucu kita suatu hari nanti.