Elak Ditipu Scammer
Kebelakangan ini banyak isu berkenaan individu ditipu oleh sindiket pelaburan yang kononnya menawarkan pelaburan yang memberikan pulangan keuntungan berganda walau dalam tempoh sehari. Mereka ini akan menggunakan platform atas talian seperti media sosial facebook, instagram, tiktok, telegram mahupun whatsapp dengan menawarkan pelaburan atas talian yang menguntungkan. Ada yang menawarkan pelaburan jenis kripto, forex, emas dan sebagainya serta menyatakan nilai keuntungan yang tinggi bagi mengaburi mata mangsa.
Ciri-Ciri Sindiket
Bermula dengan mangsa memberikan wang modal kepada sindiket tersebut, kemudian mereka akan memaparkan rekod transaksi yang menyatakan mangsa telah mendapat keuntungan sekian-sekian, dan keuntungan akan bertambah lebih lagi jika ia dibiarkan. Selain itu, mereka juga akan menanyakan sekiranya mangsa ingin menambah lagi modal pelaburan.
Tidak cukup dengan itu, hasil keuntungan yang beribu-ribu kononnya didapati oleh mangsa itu dinyatakan boleh dikeluarkan tetapi mangsa perlu membayar dahulu satu jumlah wang sebagai wang jaminan untuk kali pertama membawa keluar wang tersebut. Tanpa disedari, mangsa yang tertipu dengan kata-kata sindiket pelaburan ini akan terus dan terus melalukan transaksi wang kepada sindiket pelabur tersebut.
Inilah kronologi yang sering dilakukan oleh sindiket pelaburan atas talian. Mereka memanipulasi mangsa mereka dengan nilai keuntungan yang tinggi dan bermacam-macam syarat yang tidak diketahui oleh mangsa merupakan helah tipu daya sahaja.
Jadi, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, atau ambil pengajaran dari kisah yang terjadi ini, apa yang perlu anda lakukan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa scammer pelaburan ini juga? Di sini kami kongsikan beberapa tips yang anda boleh ikuti.
Tips Elak Di Scam
1. Buat research terlebih dahulu
Jika anda ingin membuat pelaburan, pastikan anda telah selidiki dahulu tentang pelaburan yang anda ingin lakukan. Buat banyak research dan gali lebih banyak ilmu tentang pelaburan tersebut. Pelaburan bukanlah hanya semata melabur, tetapi anda mesti ada ilmu pelaburan dalam bidang yang anda hendak ceburi.
2. Semak kesahihan syarikat pelaburan tersebut
Jika ada syarikat pelaburan yang mendatangi anda dalam apa bentuk mesej personal atau email, jangan terus percaya 100% bahawa ia adalah syarikat pelaburan yang sah. Walau sekalipun nama yang digunakan adalah nama syarikat pelaburan yang anda ketahui. Anda perlu semak terlebih dahulu kesahihan syarikat pelaburan tersebut. Semak jika ia merupakan syarikat yang berlesen atau beroperasi dengan sah. Jika ya, semak dengan khidmat pelanggan syarikat tersebut sama ada mereka ada menawarkan pelaburan yang dimaksudkan, sebab boleh jadi ada sindiket yang menggunakan nama syarikat mereka untuk menipu ramai mangsa.
3. Waspada dengan pulangan keuntungan yang tidak masuk akal
Jika anda ditawarkan dengan pulangan keuntungan yang tidak masuk akal, atau tidak relevan, jangan mudah percaya sekalipun ia adalah pelaburan berbentuk dagangan yang tidak mustahil. Sebab semuanya mempunyai risiko yang tinggi. Untuk menjamin pulangan yang besar atau berganda-ganda, anda perlu tahu ia adalah ayat ‘scammer’ atau ‘skim cepat kaya’. Dengan modal RM500 anda boleh dapat RM1000 dalam sehari, atau tiba-tiba anda boleh cecah RM18,000 sehari. Semua ini adalah scammer. Walaupun mereka menunjukkan bukti-bukti dokumen atau transaksi keuntungan. Jangan mudah percaya.
4. Jangan berkongsi maklumat peribadi
Jangan mudah memberikan maklumat peribadi anda kepada mereka jika sekiranya mereka meminta kepada anda konon bertujuan untuk membukakan akaun untuk anda. Sebab kebiasaan pelaburan atas talian, anda sendiri perlu membuka akaun pelaburan anda, dan anda hanya perlu minta cara untuk buka akaun. Sepatutnya anda boleh buka akaun dan akses sendiri berbanding anda berikan data peribadi anda dan mereka bukakan untuk anda tanpa anda ketahui langsung bagaimana cara untuk anda sendiri menyemak. Boleh jadi mereka hanya mengaburi mata anda dengan menunjukkan akaun anda walhal tiada pun akaun dibuka. Semuanya hanyalah permainan sindiket semata.
5. Jangan terburu-buru membuat keputusan pelaburan
Jika anda menerima tawaran yang mengiurkan, jangan terburu-buru atau tergesa-gesa untuk terus membuat keputusan pelaburan hanya disebabkan nilai modal kecil atau nak mencuba. Buat dahulu tips nombor 1, dan semak dahulu kesahihan syarikat pelaburan tersebut. Tidak rugi untuk anda pun jika anda berhenti buat keputusan dahulu dan semak. Sebab kebiasaan scammer akan suka mendesak anda untuk buat pelaburan secepat mungkin, konon rugi jika lambat sertai.
Kelima-lima tips ini anda boleh amalkan bagi mengelakkan diri anda dari ditipu oleh scammer. Sekurang-kurangnya anda sudah ada pencerahan tentang bagaimana scammer ini berjalan dan anda tahu apakah tindakan yang perlu anda lakukan sebelum terpedaya.
Ingatlah bahawa setiap pelaburan itu akan datang bersama dengan risiko dan tidak ada jaminan bahawa pulangan keuntungan mesti akan dapat banyak. Jika perkara asas ini pun mereka sailang, ini bermakna mereka scammer. Justeru, sentiasalah berhati-hati dan cari dahulu ilmu pengetahuan berkenaannya sebelum melibatkan diri dalam sebarang pelaburan atas talian. Jika ada sebarang keraguan atau kecurigaan, terus elakkan dari melibatkan diri. Anda boleh cari sumber pelaburan yang lebih sah dan selamat.