Assalamualaikum dan Salam Jumaat buat semua.
Di hari jumaat ini, kita disarankan untuk perbanyakkan amalan. Semoga amalan kita diterima.
Selain berselawat, kita juga dianjurkan untuk sentiasa beristighfar memohon keampunan daripada Allah S.W.T.
Tahukah anda bahawa dengan beristighfar mampu menghapuskan dosa-dosa yang lepas?
“Siapa yang membaca Astaghfirullaah Laa Ilaaha Illaa Huwal Hayyul Qayyum wa Atuubu Ilaih maka akan diampuni dosanya walaupun ia pernah lari dari medan perang.” (HR. Abu Dawud, Al-Tirmidzi, al-Thabrani, Al-Hakim dan Ibnu Abi Syaibah. Dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani Rahimahullah di Shahih Abi Dawud dan Shahih al-Tirmidzi)
Maka, perbanyakkan lah beristighfar, semoga dosa-dosa yang pernah kita lakukan dapat dihapuskan. Hal ini kerana, Allah itu Tuhan yang Maha Pengampun.
Istighfar bukan sahaja menghapuskan dosa, malah ia juga dapat menyucikan hati kita. Ya. Ketahuilah bahawa hati kita ini akan sentiasa gelap dan hitam akibat dosa-dosa dan kemaksiatan yang kita lakukan.
Maka, dengan beristighfar lah dapat menyucikan kembali hati kita. Supaya dapat kita menambahkan amal ibadat kita kepadaNya dengan lebih ikhlas, khusyuk dan tawadduk.
Dari hati yang suci, maka akan lahirlah tingkah laku yang baik, pemikiran yang baik, percakapan yang baik, dan menyucikan juga nafsu kita yang selalu menjadi punca kita melakukan laranganNya.
Rasulullah S.A.W. yang memang dijamin syurga sentiasa beristighfar dan memohon keampunan daripada Allah, sedangkan kita umat manusia yang tiada darjat yang tinggi ini pula leka dan alpa.
Apakah kehidupan kita selepas dunia ini tiada akan terjamin?
Maka, beristighfar lah selalu kerana dengan istighfar ia akan mengangkat darjat kita lebih tinggi dan mulia di sisi Nya kelak.
Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Allah akan mengangkat derajat seorang hamba di surga. Hamba itu berkata,’Wahai Allah, dari mana saya dapat kemuliaan ini?’ Allah berkata, ‘Kerana istighfar anakmu untukmu’.” (HR.Ahmad dengan sanad hasan)
Selain itu, dengan beristighfar juga mampu menenangkan hati kita, mengeluarkan kita dari jalan kesempitan. Allah akan lapangkan dada kita dan limpahkan rezeki dari pelbagai sudut.
Rasulullah bersabda, “Barangsiapa yang senantiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” (HR.Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Maka nikmat Tuhan kamu manakah lagi yang kamu hendak dustakan?
Saya mengajak anda semua agar sama-sama lah kita beristighfar di hari mulia ini. Semoga Allah akan mengampuni dosa-dosa kita, menyucikan hati kita, mengangkat darjat kita, memberikan kelapangan dalam dada kita, menghilangkan kesedihan kita, melimpahkan rezeki kita.
Salam Sayang.
Admin – FT