Siapa Kata Tak Ada Risiko?
Sebenarnya melabur dalam emas juga ada risikonya walaupun ia memberikan pulangan yang sangat lumayan. Saya tak nafikan, orang yang memiliki emas ni memang boleh jadikan ia sebagai magnet kekayaan. Bukan aje dapat lindungi mereka ketika berlaku kegawatan ekonomi, bahkan harganya yang meningkat tiap tahun turut membuatkan pemiliknya bertambah kaya.
Tapi, melabur dalam emas ini juga turut mempunyai risiko sama seperti pelaburan yang lain. Tipulah kalau nak kata melabur dalam emas ni tak ada risiko. Setiap apa pelaburan pun ada risiko. Cuma anda nak kena tahu apakah risiko-risikonya supaya anda sendiri dapat ambil langkah berjaga-jaga.
Jadi, hari ni saya nak kongsikan kepada anda tentang risiko melabur dalam emas ni. Sebab saya lihat sekarang ni makin ramai yang suka melabur dalam emas. Bagus tu memang bagus sebab dah ada anjakan paradigma dalam diri anda. Tapi macam mana pun anda kena ambil tahu soal risiko ni.
Risiko 1: Tak Dapat Untung Jangka Pendek
Anda perlu tahu bahawa melabur dalam emas ini bukanlah untuk anda dapat keuntungan dalam jangka masa yang singkat. Sekiranya anda inginkan keuntungan dalam jangka pendek, lebih baik anda pilih pelaburan lain sebab melabur dalam emas fizikal ni bukan tempatnya.
Oleh sebab itu, anda kenalah bersabar sebab kadang-kadang nak untung ni makan bulan dan tahun. Tapi, kalau anda nak untung yang lebih banyak, memang kena tunggu bertahun sebab waktu tu mungkin harga emas dah naik lebih jauh.
Lagi satu perkara anda perlu ambil tahu. Kalau nak melabur dalam emas ni anda kenalah tahu tengok harga emas semasa. Haa.. Dari sinilah anda boleh tahu bila harga emas ni naik atau turun. Dengan cara ni lebih mudah untuk anda beli dan jual emas pada masa yang sesuai. Anda sendiri juga boleh buat kira-kira berapa banyak keuntungan yang anda inginkan.
Risiko 2: Kadar Spread Tinggi
Setiap emas mempunyai kadar susut nilai jika anda ingin jualkannya semula. Jadi, jangan pilih emas yang mempunyai kadar spread yang tinggi sebab ia hanya merugikan anda sahaja. Cuba bayangkan, anda jual emas anda dengan keuntungan 15%. Tapi bila jual, keuntungan anda telah tenggelam dengan kadar spread yang dikenakan seperti 25%.
Sekiranya anda nak melabur dalam emas, lebih baik anda beli emas bar atau syiling emas. Elakkan daripada membeli emas perhiasan sebab kadar spread bagi emas perhiasan adalah tinggi Sebab tu jugalah emas perhiasan tidak sesuai dijadikan pelaburan.
Tapi, kalau anda beli untuk sekadar nak pakai sendiri atau ada yang nak hadiahkan pada isteri, dibolehkan. Lagi bagus kan kalau hadiah ke isteri. Tak gitu? Ha ha ha..
Lelaki pun boleh beli emas, tapi emas bar lah. Beli dan simpan dalam dompet emas yang paling kecil gramnya. Jangan pula dok angkut kulu-kilir emas bergram-gram. Bagusnya emas ni sebab dia ada auranya yang tersendiri. Aura positif. So, nanti dia akan tarik aura-aura positif je. Tak caya, cubalah..
Risiko 3: Terbeli Emas Palsu
Bahagian paling penting untuk melabur emas adalah beli emas. Tapi pastikan anda tidak membeli emas palsu. Jangan sebab nak dapatkan emas dengan murah sampai anda terbeli pula emas palsu. Kadang-kadang ada aje kedai-kedai emas yang kecil jual emas palsu. Jadi anda kenalah berhati-hati. Buat ujikaji dulu cek ketulenannya. Paling mudah anda bawa magnet tengok emasnya melekat ke tak.
Selain beli kat kedai emas, beli secara online juga ada risiko terbeli emas palsu. Daripada anda beli atas orang, lebih baik anda beli emas daripada syarikat pengeluar emas yang memang sah dan boleh dipercayai. Itu lebih menjamin wang anda daripada lebur.
Lagi satu, kalau anda nak beli emas lelong, pastikan dahulu emas tersebut bukan palsu sebab pernah ada makcik tu beli emas lelong tapi rupa-rupanya emas tu ada campuran dengan besi. Dah tak pasal-pasal rugi.
Apa pun, untuk elakkan daripada anda terbeli emas palsu, buat ujikaji dulu terhadap emas tu. Lepas dah kenalpasti baru putuskan untuk beli atau tak.
Risiko 4: Dicuri Atau Dirompak
Risiko ini adalah yang paling menakutkan. Kalau boleh kita semua tak nak ia berlaku. Sebab tu anda kena pastikan emas anda disimpan ditempat yang selamat seperti di safe box deposit di bank atau syarikat keselamatan. Perkara ni penting lebih-lebih lagi yang buat pelaburan besar terhadap emas.
Selain itu, bagi mengelakan kejadian begini, tak perlulah anda nak heboh-hebohkan yang anda ada emas, kat mana anda simpan atau seumpamanya. Lebih baik berdiam diri sebab itu lebih baik. Kalau nak bagitahu pun anda cuma perlu maklumkan pada suami isteri atau waris. Tu pun sebagai langkah berjaga-jaga bila anda tiba-tiba tiada, ada orang yang tahu tentang emas anda. Tak adalah emas tu burn macam tu je sebab tak ada siapa tahu. Tu pun rugi.
Risiko 5: Emas Tergadai
Sekiranya anda ingin memajakkan emas anda untuk jana emas yang lain pastikan anda tahu teknik yang betul. Jika anda tersilap langkah, emas yang anda pajakkan boleh tergadai. Memang saya ada cakap boleh jana emas dengan emas gunakan teknik manipulasikan Ar-Rahnu.
Tapi! Ada tapi.. Anda nak kenalah tahu teknik yang betul. Macam mana nak gadai, macam mana nak beli lagi emas, macam mana nak tebus. Semua ni kena ada ilmu. Baru lah emas anda terjamin. Kalau emas anda tergadai, buat rugi anda aje lah nanti.
Risiko 6: Jual Semasa Harga Emas Lebih Rendah Ketika Beli
Ini satu kesilapan besar kalau anda lakukan. Kalau anda jual emas semasa harganya lebih rendah sewaktu anda beli, ia satu kerugian besar. Sepatutnya melabur dalam emas ni sebab nak kaut keuntungan bukan kerugian. Mungkin ada yang berfikiran mereka mengalami kerugian apabila harga emas menurun.
Yang silapnya adalah membuat keputusan menjualnya. Sebab harga emas memang ada turun naik. Sebab tu melabur dalam emas ni makan masa yang panjang sebab dalam jangka yang panjang baru anda akan nampak kenaikan harga emas tu.
Sekiranya anda jual sebab terdesak, jangan gunakan jalan menjual tapi cuba gadaikan aje. Gunakan Ar-Rahnu dan gadaikan aje. Jangan ambil langkah mudah dengan menjualkannya. Nak jadi pelabur emas ni hati kenalah kental. Kalau anda memang nak jual emas. pastikan anda tahu harga emas semasa. Dan pastikan juga harga untuk anda jual tu lebih tinggi dari harga ada beli emas.
Risiko 7: Tertipu Dengan Scammer Emas
Satu lagi risiko yang anda perlu tahu jika anda nak melabur dalam emas iaitu berhati-hati dengan scammer emas. Dari dulu sampai sekarang scammer ni masih aje lagi wujud. Pastikan anda tidak tertipu dengan janji manis pelabur emas yang menyatakan mereka boleh beri pulangan keuntungan setiap bulan.
Kan saya dah bagitahu awal-awal tadi yang emas ni bukan untuk jangka pendek. Jadi memang mustahillah anda dapat untung dalam jangka masa pendek. Pergi dalami ilmu tentang scammer. Kalau rasa-rasa ada syarikat yang tawarkan pelaburan emas, yang bukan pengedar emas yang sah, anda kena cek dulu. Kenalpasti dulu ye ke tidak syarikat tu. Tanya dengan yang pakar sebelum melabur.
Saya bukan apa. Isu scammer ni dah banyak sangat dah berlaku. Yang kena tipu pun orang-orang kita. Bukan tak kesian, tapi nak buat macam mana? Saya dah cuba sampaikan kepada anda tentang scammer. Hati-hati, ciri-ciri scammer dan sebagainya. Anda lah yang kena sampaikan pula kepada mereka-mereka yang lain.
Bagi saya, satu je soal scammer ni. Selagi ada yang bersifat nak cepat kaya dengan jalan mudah, selagi itu jugalah scammer akan tetap wujud untuk menipu mereka. So, waspadalah ye.
Risiko 8: Terhilangkan Emas
Sekiranya anda beli emas, ada kemungkinan anda boleh terhilangkan emas anda. Kes ni pernah aje berlaku. Kalau beli emas tu, kenalah ingat anda simpan kat mana. Ada orang simpan emas lepas tu lupa simpan kat mana. Kononnya nak simpan jangan bagi orang curi. Akhirnya dia sendiri yang lupa simpan kat mana.
Tak pun, ada orang tu suka tukar-tukar kedudukan emas dia. Kejap kat situ, kejap kat sana sampai dia sendiri lupa kat tempat mana kali terakhir dia simpan emas dia.
Ada pula yang bawa emas dalam dompet, setakat sekeping dua aje tapi tak hati-hati sampai tercicir emasnya. Kalau anda rasa anda jenis orang macam ni, cuai, mudah lupa, pastikan anda rekod di mana anda letakan emas anda. Tapi tak perlulah mention anda simpan emas. Kalau boleh anggap emas ni satu barang yang sangat berharga. Hargai dia sebaiknya. Jaga dan simpan seeloknya. Sebab bukan kah kita nak emas ni jadi magnet kekayaan kita?
Sebab tu nak melabur dalam emas ni memang ada risikonya. Tapi, anda kenalah pandai-pandai menguruskan risiko ni. Anggap pelaburan anda pelaburan yang sangat penting. Emas anda tu sangat berharga.
Bertindaklah menjadi pelabur emas yang bijak!