Setiap orang mempunyai rezekinya yang tersendiri. Tidak kira yang halal mahupun yang haram, dia hanya akan dapat rezeki yang Allah telah tetapkan buatnya.
Namun begitu, bagaimana rezeki yang diperolehi itu mampu membawa keberkahan dalam hidup kita?
Kunci yg Kedua : Taqwa
Mengapa taqwa itu merupakan salah satu kunci untuk mendapatkan rezeki yang berkah?
Apakah maksud taqwa?
Menurut Imam Al-Ghazali, perkataan taqwa yang disebut di dalam al-quran membawa tiga maksud. Maksud yang pertama taqwa adalah perasaan takut, gerun dan ngeri.
“Dan bertaqwalah (takutilah) suatu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah.”
Surah Al-Baqarah, ayat 281.
Maksud taqwa yang kedua pula adalah taat. Sepertimana di dalam firman Allah s.w.t.,
“Hai sekalian orang yang beriman, bertaqwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benar takqwa (taat).”
Surah Ali-Imran, ayat 102.
Dan maksud taqwa yang ketiga adalah menyucikan hati daripada dosa.
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan.”
Surah An-Nur, ayat 52.
Di dalam ketiga-tiga maksud taqwa yang disebut di dalam al-quran seperti di atas, maksud yang ketiga ini lah yang merupakan takrif bagi istilah taqwa.
Para Ulamak menyatakan bahawa taqwa itu ialah menyucikan hati daripada dosa sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat.
Mengapakah taqwa mampu menjadi kunci keberkatan rezeki kita?
Kerana apabila kita bertaqwa kepada Allah, maka kita akan sentiasa berhati-hati dan berwaspada di dalam melakukan pekerjaan.
Mata hati kita akan sentiasa cuba mendapatkan keberkatan Allah s.w.t. di dalam setiap apa yang kita lakukan.
Sepertimana Istighfar mampu menjadi kunci kita mendapat rezeki yang berkah, maka sama juga jika kita bertaqwa kepada Allah s.w.t..
Allah s.w.t. telah berfirman,
“Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan jalan keluar baginya dan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
Surah At-Talaq, ayat 2-3
Ayat al-quran ini jika diamalkan dalam kehidupan seharian kita, insyaallah.. Allah akan bukakan pintu rezeki kita, dipermudahkan segala urusan, dan diberi perlindungan. Ia juga disebut sebagai ayat seribu dinar.
Maka bertaqwa lah kepada Allah, semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.