Financial Freedom?
Saya tahu setiap orang ingin mendapatkan kebebasan kewangan. Tak ada siapa yang nak hidup mereka terus menerus dalam keadaan kesempitan wang. Lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi sekarang yang menyebabkan ramai antara kita mula rasa tertekan dengan peningkatan taraf hidup.
Minyak naik, tol naik, nak tambah nilai tol pun kena minima RM30, barang-barang basah naik, ikan mahal-mahal. Nak beli barang dapur RM50 pun tak cukup. Belum lagi yang nak beli barang anak-anak. Susu anak, pampers anak, belanja sekolah anak, nak bayar bil api, bil air, sewa kereta, sewa rumah, tambah pula kos maintenance rumah naik lagi.
Kita semua tak boleh terlepas dengan semua masalah ini selagi mana taraf kewangan kita belum capai kebebasannya. Selagi mana hasil pendapatan yang kita dapat tidak melebihi perbelanjaan, selagi itu lah kita akan terus mengalami kebocoran wang.
Jadi, di sini saya ingin berkongsikan kepada anda tips bagaimana anda boleh mencapai kebebasan kewangan. Anda lakukan apa yang saya katakan ini, saya pasti hidup anda akan lebih baik dan anda boleh capai kebebasan kewangan yang anda impikan.
Jangan fikirkan susah sekarang. 'Susahlah nak buat semua tu'. Tapi fikirkanlah apa yang anda akan capai 10 tahun akan datang. Jangan fikir 'alah..belum tentu hidup sampai 10 tahun tu lagi..' Kita jangan cuba jadi Tuhan. Tuhan dah bagi kita kehidupan, adakah kita dah buat yang terbaik dalam kehidupan kita? Adakah kita dah berikan yang terbaik kepada orang-orang yang dipertanggungjawabkan kepada kita??
Sekali lagi saya cakap, jangan fikirkan susah. Buat saja. Sebab selagi mana anda tak ubah cara hidup anda, selagi itu anda tetap akan berada ditakuk yang lama.
Apa yang anda perlu lakukan untuk capai kebebasan kewangan??
#1 Setkan matlamat untuk bebas kewangan
Mula-mula anda kena setkan matlamat dalam minda anda. Katakan yang anda ingin capai kebebasan kewangan. Tanamkan betul-betul supaya ia menjadi magnet dan aura untuk anda menarik diri anda ke arah tersebut.
Banyak cara anda boleh lakukan untuk anda sentiasa fokus dengan matlamat anda, seperti anda tampal nota di bilik anda yang anda ingin capai kebebasan kewangan. Anda juga boleh letak duit di dinding atau di syiling bilik anda untuk minda anda menarik kekayaan datang kepada anda.
Semua ini adalah mainan psikologi, tapi sebenarnya ia sangat membantu anda fokus dengan matlamat anda. Bahkan, ia juga boleh menjadi magnet yang menarik wang kepada anda. Anda harus cuba lakukan perkara ini. Kerana dari mindalah baru badan dan tingkah laku kita akan bergerak seiring menuju ke arah matlamat tersebut.
Atau anda bangun pagi-pagi, anda boleh pejamkan mata anda, dan bayangkan anda kaya, anda capai kebebasan kewangan yang anda impikan. Minta pada yang Maha Kuasa, minta hari-hari yang anda nak keluar dari kesempitan hidup. Minta Dia tunjukkan jalan anda menuju ke arah matlamat tersebut.
Apabila anda sentiasa fokus dan ingat akan matlamat anda untuk capai kebebasan kewangan, secara tidak langsung anda akan berjalan menuju ke arah matlamat tersebut. Percayalah..
#2 Menyimpan untuk diri sendiri
Saya perhatikan ramai orang yang setelah dapat gaji selalu fikir nak bayar hutang itu ini. Nak bayar sewa rumah, ansuran kereta, roadtax, loan bank, bil api air dan macam-macam lagi. Sebenarnya salah cara pemikiran sebegini.
Apa yang anda patut lakukan adalah anda harus bayar pada diri anda sendiri. Dalam erti kata lain, anda wajib menyimpan dulu untuk diri sendiri. Jangan selalu terikut dengan norma masyarakat yang asyik pentingkan hal lain dari diri. "Tak apalah. Bayar hutang ni dulu lah. Tak ada untuk diri pun tak apa yang penting hutang."
Salah pemikiran begini. Apabila anda berfikiran begini, secara tidak langsung minda anda telah menarik diri anda kepada hutang kerana anda selalu memikirkan soal hutang dahulu. Anda selalu mengingatkan diri anda dengan hutang sebab itu anda menarik hutang kepada anda. Tukar cara pemikiran begini.
Sepatutnya, apabila anda dapat gaji, anda simpan untuk diri anda. "Ini duit untuk diri aku. Simpanan untuk aku kaya. Simpanan untuk aku capai kebebasan kewangan suatu hari nanti." Bila anda simpan untuk diri sendiri, automatik minda anda akan berfikir anda ada duit sebab anda boleh menyimpan untuk diri sendiri. Secara tak langsung, dari pemikiran positif ini ia akan menarik diri anda kepada kekayaan.
Tak kisahlah berapa banyak anda boleh menyimpan, asalkan anda meyimpan untuk diri anda dahulu. Anda boleh simpan 10% dari gaji anda dulu. Kalau rasa susah sangat, simpan RM10 sebulan. Sekurang-kurangnya anda menyimpan untuk diri anda sendiri.
Pastikan anda sentiasa konsisten menyimpan untuk diri anda. Kerana ini lah wang yang akan membantu anda di masa hadapan. Orang kata sedikit-sedikit lama-laam jadi bukit. Betul kan?
#3 Melabur untuk dapatkan keuntungan
Bagi merealisasikan matlamat anda, anda perlu melabur di dalam mana-mana bidang yang boleh membawakan keuntungan kepada anda. Memang dunia pelaburan mempunyai risiko yang tinggi, namun sekiranya anda mempunyai ilmu yang secukupnya, tidak mustahil bagi anda untuk mendapatkan keuntungan dan meminimakan kerugian dalam bidang pelaburan.
Melaburlah dahulu pada ilmu pelaburan supaya anda dapat bersiap sedia dengan segala kemungkinan-kemungkinan dalam dunia pelaburan. Setelah itu barulah anda mula melabur. Jika anda terus melabur tanpa ilmu, sudah tentu anda memperjudikan wang anda dalam dunia pelaburan.
Anda boleh pilih untuk membuat pelaburan jangka panjang atau jangka pendek. Untuk pelaburan jangka yang menguntungkan, anda boleh buat pelaburan dalam emas. Beli emas dan simpan kerana nilai emas akan meningkat setiap tahun.
Atau anda boleh melabur dalam dunia trading online. Sekiranya anda ingin mendapatkan keuntungan setiap hari, anda boleh trading gold dengan menggunakan teknik scalping. Sehari aje anda dah boleh dapat keuntungan. Tapi seperti yang saya katakan tadi, apa pun pelaburan yang anda pilih, anda perlu dapatkan ilmu dalam pelaburan tersebut. Ilmu itu yang akan bimbing anda menuju ke arah mendapatkan keuntungan.
#4 Melabur dalam aset bukan liabiliti
Selain melabur dalam pelaburan, anda juga harus pastikan wang yang anda laburkan untuk diri anda adalah aset bukan liabiliti. Bagaimana nak tahu anda beli aset atau liabiliti??
Sekiranya anda menanggung hutang dengan pembelian tersebut, ini bermakna anda melabur pada laibiliti. Tapi sekiranya pembelian tersebut memberikan keuntungan pada anda, maka anda telah melabur dalam aset.. Nak mudah faham, saya bagi anda sedikit contoh.
Katakanlah anda beli sebuah rumah flat dengan mengambil pinjaman daripada bank. Secara tidak langsung anda telah melabur pada liabiliti kerana setiap bulan anda perlu bayar pada pihak bank. Namun, ia akan menjadi aset apabila anda menyewakan rumah tersebut kepada orang lain, dan orang tersebut yang membayarkan hutang anda kepada bank, bukan anda. Faham ke faham?
Tapi sekiranya anda membeli kereta dan anda bayar ansuran kereta itu setiap bulan dengan wang milik anda sendiri, ini bermakna anda telah melabur pada liabiliti kerana anda menanggung hutang. Sekiranya anda ingin keluar dari masalah kewangan dan ingin capai kebebasan kewangan anda haruslah menghindarkan diri dari berhutang.
Sebab itu kalau anda nak capai matlamat anda, anda kena ubah cara hidup anda. Berhenti daripada mengumpul liabiliti. Tapi kumpullah aset yang akan membantu anda.
#5 Sentiasa berada di dalam circle yang positif
Untuk mencapai matlamat, anda haruslah sentiasa berada di dalam circle orang-orang sekeliling yang positif. Kerana faktor orang sekeliling juga yang akan membawa anda sama ada dapat capai kebebasan kewangan atau pun tidak.
Mungkin anda pernah dengar kalau kita duduk dengan orang yang jual minyak wangi, kita juga akan terkena tempias berbau wangi, dan sekiranya kita berkawan dengan orang yang buat besi, badan kita akan terlekat bau besi.
Begitulah peranannya orang sekeliling anda. Sekiranya mereka bersifat positif, maka aura positifnya akan sampai pada anda dan anda juga akan turut terbawa untuk berfikiran positif kerana minda dan badan anda menyerap aura mereka masuk ke dalam diri anda. Ini yang bagusnya untuk anda sentiasa mempunyai orang sekeliling yang bagus-bagus.
Ambil peluang ini untuk anda tingkatkan lagi diri anda dan sentiasa fokus untuk capai matlamat anda bebas dari masalah kewangan. Minta tips-tips dan kata-kata semangat dari mereka supaya anda terus kuat untuk genggam matlamat anda.
#6 Lebihkan memberi untuk tambahkan kekayaan
Orang kata, more you give, more you get. Jadi, kalau anda nak kaya, anda kenalah banyak memberi kepada orang lain. Kalau dalam islam, kita kata kalau nak kaya kenalah selalu bersedekah, maka rezeki tu akan datang lebih melimpah ruah.
Anda nak bagi apa?? Tak perlu susah-susah fikir mana ada duit nak belanja orang. Kalau anda berfikiran begini, maka anda menyatakan diri anda miskin. Kata nak kaya, nak capai kebebasan kewangan. Kenalah fikir positif. Kalau rasa susah, anda boleh mulakan dengan selalu belanja orang makan. Jadikan ia sebagai tabiat anda mulai sekarang. Kata nak ubah hidup kan?
Lepas ni, kalau pergi masjid, bawa siap-siap duit untuk masuk tabung masjid. Jadikan ia sebagai amalan anda. Kalau rasa susah nak bagi banyak, mulakan dengan bagi RM5 atau RM3 setiap kali anda masuk masjid. Selain ia bermain dengan psikologi, seperti yang saya katakan sebelum ini yang anda memberi kerana anda rasa ada duit, ia juga satu perbuatan yang mendapat berkah.
Insyaallah..Banyak anda memberi, banyak anda akan dapat semula. Percayakan janji Allah..
#7 Tidak bermewah dengan hutang
Akhir sekali, kalau anda betul-betul nak cepat capai kebebasan kewangan, anda kenalah jauhkan diri daripada bermewah-mewah dengan hutang. Macam mana tu?
Selagi mana anda beli sesuatu yang bukan keperluan dengan berhutang, maka anda sengaja meletakkan diri anda dalam kesempitan hidup. Mengapa perlu berhutang sekiranya anda boleh untuk tidak berada dalam situasi tersebut?
Lebih-lebih lagi kalau anda ambil kad kredit. Dengan mudah anda boleh beli apa yang anda inginkan. Anda boleh bermewah dengan wang dari kad kredit tersebut. Tapi, anda menanggung hutang dan beban yang sangat banyak.
Bukan sedikit orang yang bankrap akibat menggunakan kad kredit. Tapi sudah ramai orang yang saya lihat bankrap akibat salah menggunakan kad kredit, terutamanya anak-anak muda yang muda-muda lagi dah diisytiharkan muflis.
Jadi, seperti yang saya bagitahu awal-awal tadi, setkan matlamat anda dan sentiasa fokus dengan matlamat anda. Selagi mana anda sentiasa ingat yang anda nak keluar dari masalah kewangan, anda nak capai kebebasan kewangan, anda duduk dalam kelompok orang yang positif, anda menyimpan untuk diri dan cuba cari keuntungan lain, anda takkan buat sesuatu yang merugikan diri dan masa depan anda. Percayalah...
Anda boleh berpegang kepada tips-tips ini untuk ubah jalan hidup anda. Mungkin bukan sekarang anda bebas, tapi untuk masa depan dan kehidupan anda yang akan datang. Kalau anda tidak bertindak sekarang, bila lagi anda nak capai kebebasan kewangan??
.
.
Anda boleh SHARE posting ini sekiranya anda rasa ia nya bermunafaat untuk orang lain juga..