Keutamaan Waktu Subuh
Untuk kali ni saya nak kongsikan kepada anda tentang keutamaan waktu subuh yang menjadikan ia adalah waktu yang sangat bernilai khusus sekali buat umat Islam. Semoga dengan perkongsian saya ini kita dapat sama-sama memperbaiki lagi amalan kita kepadaNya dan semoga kita semua ditempatkan di syurgaNya kelak.
1. Mendapat Pahala Seperti Qiyamulail Sepenuh Malam
"Sesiapa Solat Isyak secara berjemaah maka dia seperti melakukan solat separuh malam dan sesiapa melakukan solat Subuh secara berjemaah, maka dia seperti melaksanakan solat sepanjang malam" (HR Al-Bukhari & Muslim)
Jika anda solat isyak berjemaah, anda dah dapat pahala seperti berqiamulail separuh malam. Jika anda solat subuh berjemaah pula, anda dapat lagi pahala separuh malam. Jadi, kalau anda solat berjemaah pada dua waktu ini, anda dapat pahala seperti orang yang mengerjakan qiamulail sepanjang malam.
Nampak betapa bernilainya waktu subuh ini? Mungkin kerana waktu begini sangat berat bagi manusia untuk bangun dari tidur dan mengerjakan ibadah sebab itu lah pahalanya sangat bernilai.
Lepas ni anda sendiri boleh kumpul pahala banyak-banyak. Kalau tak mampu nak berjemaah di masjid, ajaklah suami atau isteri atau anak-anak untuk solat berjemaah.
2. Mendapat Cahaya yang Sempurna di Hari Akhirat
"Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam kegelapan ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat" (HR Abu Daud)
Anda pun boleh mengerjakan solat subuh di masjid sebab orang yang berjalan dalam waktu yang masih gelap ni akan mendapat cahaya yang sempurna di hari akhirat kelak. Kalau zaman dulu mungkinlah betul-betul gelap. Zaman sekarang ni kita dah ada motor, kereta yang siap ada lampu menyuluh jalan lagi. Apa yang susahnya kan untuk bergerak ke masjid? Tapi tetap boleh dapat cahaya di akhirat jika kita melakukannya. Bukan kah janji Allah itu pasti.
3. Terselamat dari Sifat Nifaq
"Tiada solat yang lebih berat ke atas kaum Munafik daripada solat Subuh dan Isyak" (HR Al-Bukhari)
"Rasulullah s.a.w solat Subuh bersama kami pada suatu hari, maka baginda bertanya: Apakah si pulan ini hadir? Mereka menjawab: Tidak. baginda bertanya lagi: Apakah si pulan ini hadir? Mereka menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Sesungguhnya dua solat ini adalah solat yang paling berat bagi orang munafik." (HR Abu Daud)
Kalau anda rasa nak selamat dari bersifat nifaq, lebih baik anda mengerjakan solat subuh sebab hanya orang yang payah atau liat nak solat subuh ni je ada sifat nifaq. Haa..siapa-siapa yang rasa liat atau payah solat subuh tu hati-hati lah ye..he he he Kita beringat-ingat je dulu.
4. Mendapat Kesaksian Malaikat
"Para malaikat selalu mengikuti kamu secara bergiliran, pada malam dan siang hari. Mereka berkumpul pada waktu solat Subuh dan solat Asar, lalu naiklah kepada-Nya malaikat yang sebelumnya berada bersama kamu semua dan Allah bertanya kepada mereka, sedangkan Allah Maha Mengetahui keadaan kamu, (dengan pertanyaan) bagaimana kamu meninggalkan hamba-hamba-Ku? Mereka (para malaikat) menjawab: “Kami mendatangi mereka pada waktu itu mereka sedang solat dan kami meninggalkan mereka pada waktu itu juga mereka sedang solat." (HR Muslim)
Malaikat sendiri jadi saksi kita saat kita menunaikan ibadah kepada Allah. Mungkin orang lain tak nampak, tapi Dia Maha Mengetahui. Sekurang-kurangnya tercatat di buku amalam kita tentang ibadah yang kita kerjakan.
5. Mendapat Jaminan Allah SWT
"Sesiapa yang mengerjakan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah." (HR Muslim)
Siapa yang tak nak dapatkan jaminan Allah? Kita semua tahu yang hidup kita kat dunia ni sementara aje. Entah esok ke, lusa ke ajal kita, kita tak tahu pun. Alangkah bahagianya kalau kita boleh dapat jaminan Allah di akhirat kelak kan.
Apabila Allah dah bagi kita peluang untuk mendapat jaminan dia, mengapa pula kita sia-siakan? Jadi, sahabat semua, jangan tinggalkan solat subuh tau kalau nak dapat jaminan dari Allah. Nak tak nak kita kena paksa diri. Ikhlas tu akan datang kemudia bila kita dah selalu lakukan ibadah tersebut. Siapa diri kita nak judge kita ikhlas ke tak kan?
Biarlah semuanya diserahkan kepadaNya. Kita hamba jalankan tanggungjawab kita je untuk beribadah kepadaNya.
6. Terselamat dari Neraka
"Sesiapa yang mengerjakan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah" (Disepakati oleh Bukhari & Muslim)
"Tidak akan masuk neraka bagi seseorang pun yang solat sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya iaitu solat Subuh dan Asar" (HR Muslim)
Semua orang tahu soal syurga neraka. Kalau masa kita kecil-kecil dulu, bila cikgu tanya siapa nak masuk syurga, semua angkat tangan. Tapi bila kita makin dewasa, satu persatu kita lupa. Betul tak? Kalau dulu rajin solat, rajin ngaji, bila dah besar dan bekerja satu persatu kita tinggal.
Jadi macam mana kita nak terselamat dari masuk neraka kalau kita lalai kan? Ada orang sibuk dengan kerja, balik kerja sibuk pula ambil anak, buat kerja rumah, masak, pergi pasar, sehingga terlupa nak solat asar. Sepatutnya kita jangan ambil remeh soal ni.
Kalau rasa rutin kita penuh sangat, solat siap-siap di tempat kerja. Janganlah solat dah nak dekat-dekat masuk waktu mghgrib. Begitu juga solat subuh. Jangan asyik subuh gajah aje. Cuba-cuba bangun awal dan pergi surau solat berjemaah di sana.
Saya cuma saling sampai menyampaikan. Supaya kita sentiasa beringat dan cuba perbaiki lagi diri kita dan ibadah kita. Siapa yang tak nak terselamat dari api neraka? Kalau tangan kita terkena api pun dah lecur sakit, inikan pula api neraka yang sangat azab.
7. Memperolehi Pahala yang Besar
"Dua rakaat Fajar (sebelum solat Subuh) adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya." (HR Muslim)
Tahukah sahabat semua bahawa solat dua rakaat sebelum subuh ni pahalanya besar sangat? Sebab ia adalah solat yang paling berat orang nak lakukan. BUkan senang nak bangun subuh, inikan pula nak buat solat sebelum subuh. Sebab tu gak lah ganjaran pahalanya sangat besar.
Kalaulah kita boleh nampak pahala tu macam mana, mesti kita sibuk berkejar-kejar nak rebut pahala kan?
8. Mendapat Pahala Seperti Mengerjakan Haji & Umrah yang Sempurna
"Sesiapa mengerjakan solat Subuh dengan berjamaah lalu duduk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit. Kemudian dia mengerjakan solat dua rakaat, maka pahala solat itu seperti pahala haji dan umrah, sepenuhnya, sepenuhnya, sepenuhnya." (HR At-Tirmizi)
Kalau anda rasa anda belum mampu nak menunaikan haji atau umrah, apa kata anda buat amalan ni. Sebab pahalanya aje dah macam anda menunaukan haji dan umrah yang sempurna.
Macam saya cakap, kita tak tahu bila ajal kita. Jadi, apa salahnya kalau kita berusaha lebih sikit untuk dapatkan kehidupan yang lebih baik di alam yang kekal abadi nanti kan.
9. Dilapangkan Dada & Fikiran
"Syaitan akan mengikat leher sebelah atas seseorang di saat dia tidur dengan tiga ikatan. Pada setiap ikatan ditulisnya “Malammu sangat panjang tidurlah”. Sekiranya seseorang bangun tidur lalu berzikir kepada Allah, terungkailah satu ikatan. Jika dia berwuduk terungkailah satu ikatan. Jika dia solat terungkai pula satu ikatan. Maka, dengan demikian dia pada pagi itu akan merasa cergas dan mempunyai jiwa dan fikiran yang tenang dan selesa. Jika dia tidak berbuat demikian, dia pada pagi harinya akan mempunyai fikiran yang kacau, runsing dan malas." (HR Al-Bukhari)
"Syaitan mengikat tengkuk kepala salah seorang dari kamu pada malam hari dengan tali sebanyak tiga ikatan" (HR Ibnu Majah)
Siapa kat sini nak selalu bertenaga, rasa cergas, rasa tenang, rasa lapang aje dada dan fikiran? Anda boleh amalkan untuk bangun malam, berzikir dan solat.
Kalau tak dapat nak bangun qiam pun, apa kata anda bangun waktu subuh tu , spend kan masa anda untuk anda berzikir dan mengerjakan solat. Mengaji kejap ke. Mesti hari anda akan lebih cergas bertenaga. Kan waktu subuh-subuh ni udaranya nyaman. Sedap je kalau kita hirup udara nyaman ni.
10. Dapat Melihat Allah SWT
"Kamu akan melihat Rabb kamu sebagaimana kamu melihat bulan ini tanpa kesulitan melihatnya. Jika kamu mampu untuk tidak dikalahkan dalam mengerjakan solat sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya, maka lakukanlah!" (HR Al-Bukhari & Muslim)
Siapa yang tak nak dapat melihat Allah. Sedangkan nabi Musa pun nak lihat Allah. Kalau zaman Rasulullah dulu, rasul dan para sahabat pun rasa rindu nak lihat wajah Allah.
Walaupun amalan kita tak seberapa nak banding para sahabat, tapi kita juga tetap berkeinginan nak lihat wajah Pencipta kita. Jadi, kita kenalah mengerjakan solat sebelum matahari terbit dan matahari terbenam.
.
.
Sepuluh keutamaan ini saya dapat perkongsian daripada PU Yusof. Semoga kita semua dapat saling sampai menyampaikan ke arah kebaikan.
Subhanallah masyaallah Allahuakbar!!!
terima kasih atas perkingsian ini sifu.