Berbuka di masjid?
Baru-baru ni telah tular satu kisah di dalam group whats app berkenaan seorang jutawan yang mengamalkan berbuka di masjid. Alkisahnya adalah kisah bagaimana beliau melihat doa-doa yang dimohonkan sewaktu azan berkumandang menunjukkan waktu berbuka kebanyakannya telah ditunaikan oleh Allah swt.
Saya tak nafikan bahawa kisah ni mungkin kisah benar sebab saya sendiri pernah merasai bagaimana keadaan apabila saya berdoa pada waktu yang mustajab berdoa dan Allah swt telah memperkenankan doa saya ni. Dan saya sangat bersyukur.
Dalam konteks cerita tadi, bukan soal berbuka di masjid atau di rumah, tetapi bagaimana anda menggunakan waktu mustajab berdoa itu untuk memohon sesuatu hajat kepada Allah swt. Ye.. Berdoa ketika hampir waktu berbuka merupakan salah satu waktu mustajab berdoa iaitu waktu doa kita mudah diperkenankan dan dimakbulkan oleh Allah swt.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ »
Dari Abu Hurairah, ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Ada tiga do’a yang tidak tertolak: (1) do’a pemimpin yang adil, (2) do’a orang yang berpuasa sampai ia berbuka, (3) do’a orang yang terzholimi.” (HR. Tirmidzi & Ibnu Majah)
dan,
عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ »
Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash, ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya do’a orang yang berpuasa ketika berbuka tidaklah tertolak.” (HR. Ibnu Majah)
Apa yang menjadi ceritanya adalah kebanyakan daripada kita lupa akan point penting itu dan masing-masing hanya lebih mengingati kepada lauk dan juadah untuk berbuka. Itulah waktu yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua muslim, iaitu waktu berbuka. Saya pasti akan ada bermacam-macam ragam yang anda boleh lihat semasa bulan Ramadhan ini berjalan.
Memandangkan tinggal lagi 2 hari aje lagi kita nak menghadapi bulan Ramadhan, apa salahnya kalau kita ambil kesedaran dari kisah yang tular tersebut? Mungkin sebelum ni kita alpa dan tak ingat pun tentang nak berdoa sebelum berbuka. Jadi, selepas ni, anda mungkin sudah boleh letakkan azam baru bagi puasa kali ni untuk berdoa sebelum masuknya waktu berbuka.
Jangan hanya asyik memikirkan tentang juadah berbuka, nak beli apa kat bazaar nanti, nak masak apa nanti, nak sahur apa esoknya, nak terawih kat mana malam ni. Tapi fikirkanlah dulu tentang apa doa yang kita nak pohonkan pada Allah masa berbuka nanti.
Mungkin anda boleh senaraikan siap-siap apa hajat yang anda inginkan. Haa.. macam ni lagi senang. Setiap kali nak berbuka, hidangkan sekali kertas doa anda tu. Jadi sekurang-kurangnya anda ingat yang anda nak berdoa. Atau kalau anda lebih selesa untuk berdoa secara terus pun boleh. Apa salahnya mencuba buat sesuatu yang baru dari kebiasaannya?
Manalah tahu kot-kot 1 2 hajat anda dimakbulkan. Sebab Allah tu kan Maha Mendengar dan Maha Berkuasa. Jangan pernah berburuk sangka dengannya tapi bersangka baiklah yang dia akan makbulkan doa anda.
Selain daripada waktu berbuka yang merupakan waktu mustajab berdoa, anda juga boleh berdoa pada 2 waktu yang lain yang merupakan waktu terbaik untuk berdoa iaitu pada sepertiga malam dan sepanjang bulan Ramadhan. Saya rasa tak mustahil pun untuk kita berdoa kepada Allah sebab waktu-waktu yang diberikan adalah waktu yang memang sesuai dengan kita.
Waktu sepertiga malam pun termasuk ketika waktu bersahur. Mungkin anda boleh bangun awal sikit dan menunaikan tahajud atau solat-solat lain sebelum bersahur. Berdoa dan memohonlah kepada Allah pada ketika itu.
Marilah kita sama-sama berdoa supaya kita dapat menggunakan waktu yang berharga ini untuk berdoa dan memohon kepada Allah semoga hidup kita ni berjaya dunia dan akhirat. Semoga Allah swt akan memakbulkan doa anda semua..