Travelog : Misi Bantuan Fakir Miskin

Assalamualaikum wmt wbkt.

Alhamdulillah, hari ini kita telah pun sampai pada 26 Ramadhan dan tinggal lagi beberapa hari aje lagi bulan Ramadhan ini akan meninggalkan kita.

Sertai Misi Bantuan

Saya mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana mengurniakan saya satu pengalaman yang indah di bulan Ramadhan pada tahun ini. Dan saya ingin kongsikannya kepada anda semua di luar sana. Pada hujung minggu lepas, saya telah menyertai Misi Bantuan Fakir Miskin di Padang Terap, Kedah yang dianjurkan oleh Jemaah Surau Nurul Islah di kawasan saya ini.

Terdetiknya hati saya untuk menyertai misi ini adalah apabila saya melihat video keadaan penduduk di sana yang benar-benar kelihatan dhaif dan saya tidak pernah nampak lagi akan situasi tersebut sepanjang saya dewasa ini. Jika masa kecil-kecil dulu, mungkin ya saya pernah lihat. Tapi dengan keadaan bandar yang makin serba maju, saya sudah tidak nampak lagi akan situasi tersebut di sini.

Rupa-rupanya masih ada lagi insan yang hidup dalam kesusahan walaupun kita telah merdeka hampir 60 tahun. Saya sangat tersentuh dan saya ingin sendiri menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini. Walaupun pada Ramadhan kali ini saya telah pun memberikan sedikit sumbangan kepada beberapa rumah anak-anak yatim dan miskin di kawasan Selangor, tetapi bagi saya misi kali ini lebih penting. Mereka ini benar-benar memerlukan bantuan dari kita.

Our Journey

Saya telah mohon dari jemaah surau Nurul Islah ini untuk turut serta dalam misi bantuan mereka ini pada Ramadhan kali ini. Pada khamis malam jumaat, saya telah menghadiri meeting perbincangan mengenai perjalanan dan barangan keperluan asas yang perlu di bawa dan saya terus membuat segala persiapan tersebut pada keesokan harinya.

Saya telah membawa kedua orang anak saya, seorang staf saya dan seorang kawan saya untuk turut serta join misi bantuan ini. Harapan saya agar anak-anak saya dapat mengambil pengalaman ini dan melahirkan rasa bersyukur dengan apa yang ada kerana masih ada lagi insan lain yang hidupnya lebih susah. Semoga mereka suatu hari nanti mampu jadi anak-anak yang boleh menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan.

Jadi, pada jumaat malam sabtu, kami semua berkumpul di kawasan Putra Height dan sebelum memulakan perjalanan, Ustaz Fauzi yang merupakan pengerusi surau Nurul Islah telah mengetuai bacaan doa semoga perjalanan kami ini diberkati dan dilindungi.

Pukul 12 malam, kami bertolak dengan 4 buah kenderaan 4 by 4 iaitu Frontier, Hilux, Navara dan Ford Ranger. Memang kena bawa 4 by 4 kerana keadaan kawasan struktur jalan di sana memerlukan kenderaan jenis ini. Jika saya bawa kereta, mungkin tak lepas nak ke kawasan mereka. Anda sendiri boleh bayangkan bagaimana keadaan jalannya jika perlu bawa 4 by 4. Dan setiap kenderaan penuh dengan barang keperluan asasi yang akan diagihkan kepada penduduk fakir miskin di sana nanti.

Singgah Sahur

Demi keselamatan, setiap 4 by 4 akan ada dalam 3 orang driver yang standby untuk tukar-tukar menjadi driver kenderaan kerana perjalanan ke Kedah ini sangat jauh dan ianya memakan masa 6 ke 7 jam. Alhamdulillah... Perjalanan kami semua berjalan dengan lancar.

Pukul 5 pagi kami semua berhenti sekejap di sebuah kedai restoran Nasi Kandar yang terletak di Juru untuk bersahur. Selesai bersahur dan solat, kami meneruskan perjalanan semula ke Kuala Nerang.

Akhirnya kami semua tiba di Homestay Bajet yang terletak di Kuala Nerang pada pukul 7.30 pagi. Sebelum meneruskan perjalanan misi bantuan ini, kami semua berehat dan tidur sebentar untuk recharge kembali tenaga yang dah habis digunakan sepanjang perjalanan ke sana.

Misi Bantuan Bermula

Pada pukul 9.30 pagi, team kami telah bertemu dengan pihak NGO kawasan Kuala Nerang kerana mereka inilah yang akan membantu misi kami dengan membawa kami ke kawasan rumah orang-orang fakir miskin. Ketua mereka iaitu Ustaz Nasir telah menyediakan senarai nama penerima sumbangan.

Apa yang saya kagum dengan Ustaz Nasir ini, beliau boleh hafal dan ingat setiap nama penduduk tersebut, apa pekerjaan mereka, berapa ramai anak mereka, dan lain-lain lagi. Setiap senarai nama yangdisediakan juga telah disaring terlebih dahulu dan mereka benar-benar memilih golongan yang betul-betul memerlukan.

Oleh kerana kawasan Padang Terap tempat kami menghulurkan bantuan ini bukanlah satu kawasan yang kecil, maka taklimat telah diberikan oleh Ustaz Nasir mengenai kawasan-kawasan yang kami akan pergi. Rupanya kawasan Padang Terap ni sangat besar dan untuk menuju ke sana juga memakan masa yang lama. Jadi, team kami telah berpecah kepada empat kumpulan di mana setiap kenderaan 4 by 4 akan mengikuti kenderaan dari pihak NGO yang akan menunjukkan kawasan.

Sepanjang misi menghulurkan bantuan ini, kami memang tidak berjumpa kerana setiap wakil akan pergi ke arah lain. Saya rasa team saya hampir sampai ke sempadan Thailand.

Perjalanan kami yang pada mulanya diuji dengan kepanasan matahari yang sangat terik sehingga habis keluar peluh keringat semua. Kemudian hujan lebat di petang hari habis basah lencun semua. Namun apa yang kami dapat dari misi ini sangat meyentuh hati kami semua.

Anda bayangkan aje, untuk sampai ke kawasan mereka sehingga ada tempat yang kenderaan kami tidak dapat masuk dan kami terpaksa berjalan kaki mengangkut segala keperluan barang asasi untuk diserahkan kepada keluarga fakir miskin tersebut. Malah, yang sangat adventure adalah kami juga terpaksa merentasi jalan anak sungai untuk pergi ke kawasan mereka ini. Bayangkan jika saya bawa kereta, mahu tenggelam kereta saya dalam sungai.

Bagaimanalah kehidupan mereka ini? Dengan jauh dari bandar, jauh dari kemajuan. Dengan ada yang tiada bekalan elektrik, tiada saluran paip air. Air yang mereka gunakan hanyalah dari sumber telaga, perigi dan paip pam air tanah. Pasti anda tidak menjumpai keadaan sebegini di bandar atau di pekan.

Pasti anda tidak akan terbayang bagaimana kehidupan mereka ini dengan hanya berbumbungkan atap nipah, ada yang berbumbungkan kanvas, ada yang berdindingkan buluh, ada juga yang berlantaikan tanah. Malah, kalau anda lihat, ada rumah yang hanya kelihatan seperti pondok tempat berjaga dusun durian. Sangat dhaif.

Dahulu, di situ terdapat sebuah kilang gula yang menjadi sumber pendapatan mereka. Tetapi, sejak kilang gula tersebut ditutup, mereka telah hilang sumber pendapatan. Dan mereka cuba mendapatkan sumber pendapatan dengan mengambil upah menoreh getah, dan mencari hasil hutan.

Terus terang saya katakan, mereka tidak minta untuk hidup susah dan serba kedhaifan begitu. Anda sendiri boleh lihat bagaimana keadaan rumah mereka seperti dalam gambar yang saya lampirkan di bawah ini.

Saya sangat sedih melihat keadaan rumah mereka, dapur mereka, tempat tidur mereka, bahkan diri mereka sendiri yang kelihatan kurus. Ada pakcik makcik yang menangis kerana kami menghulurkan bantuan buat mereka. Mereka sangat bersyukur kerana masih ada lagi insan yang sudi menghulurkan bantuan terhadap mereka.

Jemputan Berbuka Puasa

Alhamdulillah. Segala pengagihan telah pun selesai dalam lebih kurang pukul 6.30 petang dan kami semuga bergerak balik menuju ke homestay kami. Malam tu, kami telah mendapat jemputan untuk berbuka di Maahad Tahfiz Akademi Al-Quran dan Dakwah Ummah (AQDU) yang terletak di Padang Terap.

Sesampai aje kami di homestay, saya dan team bersiap-siap untuk menuju ke maahad tersebut. Suasana meriah di maahad sangat menyeronokkan. Pihak maahad menyediakan makanan gulai kambing bersama batang pisang dan ianya sangat sedap. Anak-anak saya juga memuji masakan tersebut. Selain itu, kami juga dihidangkan dengan petai yang fresh diambil daripada pokok dan sambal belacan.

Alhamdulillah, rezeki kami hari pada hari tersebut.

Selepas berbuka, kami semua pulang ke homestay dan menunaikan solat terawih bersama-sama. Habis solat terawih, pihak ngo adalah buat sikit majlis suai kenal dengan makan buah durian. Almaklumlah, pada pagi tersebut tak sempat nak kenal-kenal sangat. Sampai-sampai, dengar taklimat, terus gerak.

Jadi kiranya malam tu baru lah kami ni berkenal-kenalan dengan ahli dari pihak ngo dan adalah sedikit tazkirah dari Ustaz Nasir dalam 15 minit.

Misi Selesai

Pada keesokan harinya, saya dan team jemaah surau Nurul Islah berangkat pulang setelah selesai menunaikan solat subuh. Alhamdulillah. Misi bantuan kali ini sangat memberikan kesan yang mendalam buat saya. Saya harap agar saya dapat turut serta lagi misi sebegini pada masa akan datang.

Insyaallah, semoga Allah juga melimpahkan rezeki buat anda semua yang baca kisah ini supaya anda sendiri juga mungkin dapat untuk turut serta menghulurkan bantuan kepada fakir miskin pada masa akan datang. Jangan pernah lupakan tanggungjawab kita untuk membantu insan lain yang memerlukan.

Anda boleh lihat sedutan perjalanan misi bantuan fakir miskin ini di dalam video di bawah ini.

.

.

Jom SHARE supaya ramai lagi dapat menebarkan pengalaman indah ini.

Dapatkan Ebook

'Knowledge Trading Version 2' Sekarang!

You have successfully subscribed to the newsletter

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Ir Sofian will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.