Assalamualaikum wmt. wbkt.
Alhamdulillah, sedar tak sedar Syawal dah nak mendekati kita. Mesti ada yang dah ambil cuti dan balik kampung kan?
Bagi yang masih lagi bekerja, jangan pula hilang mood untuk bekerja ye. Siapkan apa yang patut. Settle kan semua kerja supaya kita dapat bercuti raya dengan hati yang gembira..
Bersempena nak raya ni, saya nak mohon maaf kepada anda semua sekiranya ada di antara anda yang saya kenal atau yang saya tidak kenal, yang saya ada buat salah atau silap. Saya minta maaf tulus ikhlas dari hati. Biarlah Ramadhan kali ini hati kita semua dibersihkan dan disucikan dari segala dosa dan semoga raya ini akan membawa kita menjadi insan yang lebih baik dari sekarang..
Checklist
Bersempena nak raya ni, saya nak bagi sikit tips kepada anda di luar sana yang mungkin nak balik ke kampung halaman. Anda mungkin boleh jadikan tips ni sebagai checklist anda sebelum berangkat pulang ke kampung. Pentingnya checklist ni sebab kadang-kadang ada benda yang kita terlepas pandang.
Jom kita lihat apa tips persiapan balik raya ni yang kita kena check.
Tips 1: Lakukan Pemeriksaan Kenderaan
Sudah semestinyalah jika anda nak pulang ke kampung halaman, anda kena buat pemeriksaan terhadap kenderaan anda. Tidak kira sama ada anda naik kereta ke, van ke, atau motor. Anda tetap perlu servis kenderaan anda dahulu. Pastikan minyak hitam anda dan air kereta anda mencukupi. Jangan tak tengok pula. Kang tak pasal-pasal naik temperature kereta, mau berasap.
Yelah, perjalanan mesti makan masa. Kalau ditambah dengan jem lagi, memang boleh naik temperature kereta. Jadi kenalah cek awal-awal supaya anda boleh elakkan kejadian tak diingini. Selain itu, pastikan aircond kenderaan anda berfungsi. Cek cukup ke tidak gas aircond anda.
Anda juga perlu standby tayar spare, air kosong dan alatan seperti playar dan spanar di dalam bonet kereta anda. Keperluan ini perlu. Mana tahu jika anda masalah tayar pancit ke, anda ada alatan untuk tukar tayar sendiri.
Tips 2: Lakukan Pemeriksaan Rumah
Sebelum meninggalkan rumah anda, pastikan anda dah tutup segala suiz yang tak digunakan dan cabutkan ia dari plug. Pastikan gas dapur ditutup dan dicabut dari kepada tong gas. Tingkap dan pintu dikunci dengan baik. Motor dikunci dengan baik. Dan barang-barang berharga disimpan ditempat yang selamat.
Jangan lupa maklumkan kepada jiran anda untuk tengok-tengokkan rumah anda sepanjang ketiadaan anda. Anda boleh tinggalkan nombor telefon kepada mereka supaya jika ada apa-apa, mereka boleh maklumkan kepada anda segera.
Anda juga boleh maklumkan kepada polis supaya pihak polis boleh buat rondaan di kawasan anda ketika ketiadaan anda. Almaklumlah, cuti-cuti raya ni banyak rumah kosong dan banyak juga pencuri dan perompak yang memerhati. Sebab tu kita kena buat persiapan dengan sebaiknya dan berdoa agar Allah melindungi harta benda kita sepanjang ketiadaan kita.
Tips 3: Lakukan Pemeriksaan Perjalanan
Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda dah bawa pulang pakaian raya dan kelengkapan diri serta anak-anak. Cek apa yang tak cukup. Jangan nanti dah sampai kaampung ada yang tertinggal songkoklah, butang baju melayulah, dan macam-macam lagi.
Pastikan juga anda telah menambah nilai kad touch n go anda. Yelah, raya tahun ni kaunter tol tambah nilai ditutup dan kebanyakan tempat dah tak pakai tunai. Kenalah siap-siap topup, jangan sampai tersangkut di jalan raya.
Pastikan juga anda membawa spek hitam supaya anda dapat gunakan ketika cahaya panas menyilaukan mata. Bahaya kalau tak atasi silau ni sebab silau ni boleh menyebabkan anda mengantuk ketika bawa kenderaan nanti. Kalau anda mengantuk, berhenti rehat sekejap di RnR. Jangan paksa diri. Kenalah sayangi diri anda dan pemandu jalan raya yang lain. Jangan disebabkan kedegilan dan kecuaian anda, nyawa orang lain yang diambil.
Anda juga boleh sediakan kerepek atau snek untuk dimakan sepanjang perjalanan kalau anda memandu pada waktu malam. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu anda menghilangkan mengantuk saat ahli keluarga anda yang lain lena dibuai mimpi.
Apa pun, anda perlu berhati-hati dan memandulah dengan berhemah. Jangan lupa baca doa kenderaan dan mohon agar perjalanan anda dilindungi dari segala kecelakaan.
Selamat pulang ke kampung halaman..... Dan SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN...
Salam Sayang,
Ir Sofian