Hari ni apabila melihat sesi persekolahan bermula, anak-anak mula bersiap pakai baju baru untuk pergi ke sekolah,  teringat zaman saya dulu-dulu pula. Orang kata terimbau kembali kisah silam.

Zaman saya dulu sangat berbeza dah dengan zaman sekarang. Banyak yang lainnya. Tak dinafikan peredaran zaman sudah semakin memajukan negara kita ni.

Kalau dulu, saya pergi sekolah pakai baju longgok aje. Orang sekarang panggil baju bundle lah sebab beli dari pasar malam. Masa tu, kalau beli mesti ayah pilih saiz yang besar-besar. Sebab katanya “ko cepat beso, nanti cepat sempit tak muat nanti”. Bila pakai baju besar ni, lamalah boleh pakainya. Mana sama macam zaman sekarang ni. Budak zaman sekarang ni baju nak kena sama saiz. Tak muat, beli baru aje. Seluar pun sama. Just pakai abangnya seluar. Tak ada nak beli seluar baru pun.

Kasut pula pakai kasut getah yang warna putih tu je sebab ayah cakap tak payah nanti nak keluar duit beli kapur kasut. Dah jimatlah kat situ. Beg pun selagi tak koyak, memang tak ada istilah nak dapat beg baru. Selalunya sebagai anak paling kecil ni memang jadi mangsa pakai barang 2nd hand aje dari abang dan akak. Tapi rasanya memang dulu-dulu kebanyakannya semua keluarga pun macam tu.

Alat tulis macam pensil adalah beli. Cuma pemadam tu renovate aje getah gerit jadi pemadam. Lilit getah gerit tu kat kepala pensil, dah boleh buat jadi pemadam. Banyak juga fungsi getah gerit ni. Sebab dulu mana nak beli pensil box. So, ikat aje lah semua alat tulis tu dengan getah gerit.

Tapi, bila masuk pertandingan ke atau apa-apa acara di sekolah dan dapat hadiah pensil box, memang itulah saat yang paling best sebab 'merasa' juga nak pakai pensil box yang canggih dan baru. Kalau budak sekarang ni bagi hadiah pensil box, rasa-rasanya dia orang suka ke macam zaman kita dulu?

Lepas tu, botol air wajib ada. Sebab emak buatkan air dari rumah untuk minum masa rehat nanti. Macam tu juga bekal makanan. Ikut apa yang mak masak pagi tu. Sebab mak & ayah bawa bekal untuk pergi menoreh. Saya ingat lagi zaman tu, saya dapat makan free dalam program RMT (Rancangan Makanan Tambahan) untuk budak-budak sekolah yang miskin.

RMT ni dilaksanakan dari tahun 1979 yang mana Kementerian Pendidikan Malaysia beri makanan tambahan untuk murid-murid sekolah rendah, terutamanya yang dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah. Semuanya atas usaha untuk baiki keadaaan kesihatan fizikal dan amalan pemakanan sihat supaya murid-murid dapat tingkatkan prestasi dalam kehadiran dan akademik.

Betul juga tu. Zaman dulu susah. Kalau tak ada RMT, mungkin ramai juga budak-budak yang kelaparan kat sekolah sebab tak ada duit belanja. So, bila dah ada RMT ni, memang dapat jimat duit belanja lah. Kalau dulu saya dapat duit belanja 20 sen untuk sekolah pagi dan petang. Selalunya saya pakai 10 sen aje. 10 sen lagi simpan dalam tabung buloh yang ayah buatkan dan pakukan kat dinding.

Tabung buloh ni memang tak boleh nak korek atau keluarkan. So, simpan aje lah sampai penuh. Rasa-rasa budak sekarang kalau bagi belanja 20 sen okay tak??ha ha ha

Saya dulu pergi sekolah jalan kaki aje. Kebetulan sekolah pun tak jauh sangat dari rumah. So, dalam setengah km aje dah sampai sekolah. Saya ingat lagi, selalunya saya jalan kaki dengan Enal anak Kak Nak Mail Jurong yang memang selalu lalu depan rumah saya nak ke sekolah. So, pergi bali sekolah memang inilah kawan sembang saya. Sekarang ni, kita pula menghantar ambil anak sekolah.

Panjang terimbaunya. Walaupun susah macam mana tapi itulah kenangan yang sangat berharga yang dah tak dimiliki oleh generasi zaman sekarang. Kalau buat flashback hitam putih, mesti nampak bezakan perubahan kemajuan negara kita.

.

.

Secebis kisah silam...
Anak kampung
Darjah 1&2

Boleh tengok posting asal di Facebook saya Ir Sofian.

Please follow and like us: