Assalamualaikum..
Saya harapkan sahabat blog saya yang sering kali membaca posting saya di sini dikurniakan kesihatan yang baik-baik, lebih-lebih lagi saat kita bedepan dengan situasi covid-19 yang masih lagi belum terhenti. Memang menakutkan bila kita lihat saban hari angka kes covid ini semakin meningkat. Dan sangat ditakuti jika tidak dapat dikawal, maka gelombang kedua bermula dan kita terpaksa berdepan dengan PKP sekali lagi.
Saya faham, ramai yang terjejas sejak PKP yang lepas termasuklah saya sendiri merasakannya. Hingga terfikir dibenak saya untuk tutup aje syarikat. Namun, saya tak boleh mengalah hanya disebabkan ini. Saya perlu fikirkan alternatif dan jalan lain untuk bangkitkan semula syarikat-syarikat saya.
Alhamdulillah, Allah berikan saya jalan untuk saya teruskan perjalanan saya. Kalau tidak, mungkin aje penutupan syarikat saya ini akan menjejaskan hidup staff-staff saya. Apabila sekarang ni syarikat sudah boleh beroperasi dan berkerja seperti biasa, ekonomi pun dapat berjalan dengan baik, saya mengharapkan agar ianya tidak terhenti disebabkan serangan covid gelombang kedua..
Sekarang ini, saya rasa ILMU tu sangat penting. Tidak kira dalam apa jua bidang, kita perlukan ilmu. Ilmu dalam berbisnes ke, ilmu dalam bertrading ke, ilmu dalam mengurus kewangan ke, mahupun ilmu tentang agama. Sebab saya lihat disebabkan covid ni, semua ini saling terkait.
Jika kita tak pandai urus dan atur bisnes dengan baik, ranaplah bisnes kita. Jika kita tak reti urus kewangan dengan bagus, maka terbebanlah kita dengan hutang dan kesempitan hidup. Jika kita tidak ada ilmu agama, berpecah belah lah soal soal Jumaat dan lain-lainnya.
Sebenarnya bagi saya, kita patut jadikan apa yang terjadi ini sebagai pengalaman hidup. Supaya bila kehadapan nantii, apa yang berlaku, kita dapat aplikasikan.
Ilmu Trading
Nak trade kena belajar dahulu. Gali ilmu dan belajar dari pengalaman orang lain. Macam saya, waktu tu tak ada pengalaman siapa yang saya boleh jadikan rujukan. Jadi apa yang jadi sepanjang tempoh saya trade, saya kongsikan dengan student saya supaya mereka tidak buat kesilapan yang saya pernah buat. Ini namanya proses batu loncatan. Mereka dah ada ilmu, trade guna ilmu dan jadikan pengalaman trader lama sebagai rujukan supaya tidak lakukan kesalahan sama.
Mengapa perlu untuk trade seumpama esok pasaran dah tak ada? Anda tidak perlu mengejar untung ribu riban sehari seperti esok anda sudah tidak boleh trade. Ini konsep yang salah. Jika nak kekal lama, atau konsisten, anda ambillah keuntungan yang berpada. Sedikit-sedikit pun lama-lama jadi bukit. Berbanding untuk sehari, esoknya terus melingkup. Saya cakap sebab memang inilah yang terjadi.
Ilmu Bisnes
Nak buat bisnes tanpa ilmu, bagaimana anda nak berjaya? Sebab ramai aje yang nak buat bisnes. Tapi bila kena tipu, terduduk masing-masing. Ambil juga pengalaman orang lain yang buat bisnes. Lebih-lebih lagi orang yang menjalankan bisnes yang sama bidang dengan anda. Bukan beerti anda nak sailang bisnes mereka, tapi hanya mengambil pengalaman dari mereka yang anda boleh jadikan rujukan pada bisnes anda nanti.
Bila dah ada bisnes, dah ada syarikat dan dah ada staff, nak kena pula ada ilmu leadership. Sebab kalau anda sebagai bos tapi tak tahu nak memimpin sesebuah syarikat, memanglah susahlah nanti. Macam mana nak urus kerenah pekerja ni. Macam mana nak satisfied kan hati pekerja dengan syarikat yang boleh win-win situation. Semua ini nak kena belajar.
Ilmu Kewangan
Sama ada anda ni trader ke, bisnesman ke, atau hanya pekerja makan gaji ke, anda nak kena anda ilmu kewangan. Ilmu bagaimana untuk menguruskan kewangan dengan bijak. Bukan hanya bab-bab bijak masa nak berbelanja barang rumah, tapi bijak juga mnegurus hutang serta simpanan.
Dizaman yang serba moden ni, saya tak pasti ramai atau tidak yang cakna tentang kepentingan takaful. Salah satu dalam nak mengurus kewangan adalah kena ada takaful. Nak buat simpanan untuk pendidikan anak-anak, boleh ambil takaful education. Nak berhati-hati dengan bil perbelanjaan hospital jika tiba-tiba sakit, kena ada takaful kesihatan. Diri kita ini juga perlu ada perlindungan. Bukan saya nak mempromosikan takaful, tapi jika kita sibuk mengumpul duit, tapi bila satu hari jadi apa-apa dan kita tidak ada perlindungan, hanguslah semua wang simpanan yang selama hidup kita ini kita kumpul.
Sebab itu ilmu kewangan sangat penting. Anda perlu tahu bezakan yang mana keperluan dan yang mana kehendak.
Ilmu Agama
Setiap bangsa ada agama masing-masing. Bagi kita yang berbangsa Melayu, saya sarankan agar kita perdalami ilmu agama kita. Jangan sampai anak cucu generasi akan datang hanya Islam di dalam kad, tapi bukan di dalam hati mereka. Kitalah yang bakal mencorak generasi akan datang.
Tak payah jauh-jauh. Corakkan dulu anak-anak kita. Tunjukkan pada mereka bagaimana Islam yang sebenar. Tunjukkan betapa cantik dan indahnya Islam ini. Tapi sebelum nak tunjuk, sudah tentu kita sendiri perlu perbaiki diri dan ilmu agama kita. Sebab kita adalah cerminan buat mereka. Apa yang kita buat, akan jadi ikutan mereka. Mereka hanya kain putih yang bakal kita corakkan.
Sebenarnya banyak lagi yang saya nak cakapkan. Tapi cukuplah sekadar itu sahaja untuk hari ini. Saya nak cakap ILMU tu PENTING aje. Tapi biasalah, panjang berjela pula. Semoga apa yang baik itu dapat anda ambil dan jadikan pengajaran buat diri anda.