Selamatkan Emas Anda

Sekiranya anda ada membeli emas atau membuat pelaburan emas, di manakah tempat yang sesuai untuk anda menyimpan emas-emas anda?

Bagaimana untuk mengelakkan emas anda dari hilang atau dirompak? Ada cara selamat tak?

Ya.. Saya tahu. Apabila anda nak melabur dalam emas, sudah semestinya anda memikirkan bagaimana untuk menyimpan emas anda. Sebab anda mesti takut emas anda hilang. Persepsi ini sudah lama tertanam dalam benak kepala kita semua.

Kalau kena rompak ke, hilang ke, mesti menyesal.

TAPI!!

Sedar tak anda bahawa ada juga barang lain yang bernilai tapi anda letak merata-rata aje? Macam laptop, handphone, jam berjenama, kereta, televisyen. Semua benda ni bukan benda murah. Kalau nak hilang, hilang juga.

Jadi, anda tak perlu risau untuk melabur dalam emas. Anda juga boleh simpan emas dengan betul dan selamat. Saya akan berkongsikan kepada anda beberapa tips macam mana untuk anda menyimpan emas anda dengan betul.

#1 Jangan bagitahu orang lain anda ada emas

Perkara yang paling utama sekali untuk lebih selamat adalah anda jangan bagitahu sesiapa pun yang anda mempunyai emas melainkan kepada suami, isteri atau waris anda.

Jadi, anda tidak perlu memberitahu rakan-rakan anda yang anda ada membuat pelaburan emas dan menyimpan emas tersebut kerana dikhuatiri ada orang lain yang mendengarnya atau berita ini sampai kepada orang yang mempunyai niat yang jahat.

Walaupun anda mempunyai koleksi-koleksi emas, anda tidak perlu menunjukkan ia kepada rakan-rakan anda. Cukup sekadar anda berdiam diri dan menyimpan ia senyap-senyap. Kita tak tahukan walaupun kawan sendiri, rambut sama hitam, tapi hati lain-lain.

Lebih baik anda berhati-hati dan berwaspada sebelum terkena.

#2 Simpan ditempat yang orang takkan terfikir

Sekiranya anda menyimpan emas di rumah, pastikan anda meletakkan emas anda itu di suatu tempat yang orang lain takkan terfikir ada barang bernilai di situ. Taktik ni adalah sesuai bagi mengelakkan perompak atau pencuri yang memasuki rumah anda merompak kesemua emas anda.

Lagi mudah jika anda mempunyai syiling emas sebab syiling emas ni bentuknya dah macam duit seposen. Anda letakkan saja emas anda ni di dalam pam tandas, peti ais, bekas pasu, dalam lampu, tin biskut atau bekas ubat, belakang jam dinding, dalam soket dinding, dalam pasir akuarium, dalam tanah belakang rumah dan di mana-mana lagi tempat yang anda rasa selamat.

Pastikan anda tidak menyelitkan emas anda di dalam lipatan baju, bawah bantal, bawah tilam, dalam almari, dalam laci, dan tempat-tempat spot sasaran perompak.

#3 Jangan simpan emas anda selonggok di satu tempat

Seeloknya anda tidak menyimpan emas anda selonggok di satu tempat. Lebih selamat jika anda mengasingkan emas-emas anda kerana ia dapat mengurangkan risiko kerugian sekiranya emas anda dirompak. Kes ini pernah aje terjadi. Tapi disebabkan emas-emas tersebut disimpan ditempat-tempat yang berasingan, jadi kerugian yang dialami dapat diminimakan.

Oleh sebab itu saya menyebutkan banyak tempat tadi, supaya anda boleh simpan secara berasingan emas-emas anda ini. Tapi, anda jangan pula simpan di terlalu banyak tempat kerana dikhuatiri anda sendiri pula yang lupa anda simpan di mana. Konon nak elak dicuri, tapi anda pula yang lupa dan kehilangan emas tersebut.

Biarlah tempat tersebut anda tahu dan ingat. Lagi satu, apabila anda dah simpan emas anda, jangan pula anda asyik nak tukar-tukar tempat. Sebablama-kelamaan anda boleh lupa di mana tempat last sekali anda simpan.

#4 Beli peti keselamatan Safe Deposit Box

Sekiranya anda mempunyai banyak emas, dan anda risau anak-anak anda atau saudara mara anda mencuri dan mengambil emas tersebut, anda boleh membeli satu peti keselamatan yang dipanggil Safe Deposit Box. Tapi kos peti keselamatan ini agak tinggi dan tak berapa selamat sekiranya anda letak di rumah.

Mungkin anda boleh selamatkan dari anak-anak anda atau saudara mara anda curi emas anda. Tapi kalau ada orang pecah masuk, box ini yang dia akan angkut terus sebab nampak macam ada benda mahal je.

Apap pun, anda boleh simpan emas-emas anda di dalam peti keselamatan ini dan pasang kod kekunci pada box tersebut. Tapi jangan pula anda lupa apakah kod kekunci tersebut. Dah tak pasal-pasal anda pula tak boleh buka.

Kalau boleh, elakkan nombor-nombor yang orang lain biasa tahu seperti nombor belakang IC, nombor tarikh lahir, nombor plat kenderaan dan nombor telefon rumah.

#5 Simpan di peti keselamatan di bank atau syarikat swasta

Paling fleksibel dan praktikal, anda boleh simpan emas anda di dalam peti keselamatan yang disediakan oleh pihak bank atau syarikat swasta. Apa yang anda perlu lakukan adalah hanya membayar kos upah simpan dan kos cover insurans bagi emas-emas anda.

Cara ini lebih senang dan anda juga dapat tidur dengan nyenyak tanpa risau memikirkan bagaimana kalau ada orang pecah masuk rumah anda. Terpulang kepada anda untuk simpan berapa banyak emas di dalam peti keselamatan ini. Kalau anda rasa sikit emas pun anda risau untuk simpan di rumah, lebih baik anda simpan aje di bank.

Antara bank dan syarikat swasta, kedua-duanya bagus. Cumanya kalau anda nak kos simpan yang rendah, anda boleh simpan di bank kerana waktu berurusannya hanya pada waktu bekerja. Berbeza dengan anda simpan emas anda di syarikat swasta kerana masa urusannya lebih fleksibel.

#6 Jangan simpan di Ar-Rahnu

Jangan pula anda menyimpan emas anda di Ar-Rahnu sebab Ar-Rahnu bukanlah tempat yang sesuai untuk anda menyimpan emas anda, lebih-lebih lagi untuk jangka masa yang lama. Ar-Rahnu lebih sesuai untuk anda dapatkan modal untuk tambahkan lagi emas anda.

Sekiranya anda ingin simpan di Ar-Rahnu, baik anda gunakan peluang ini dengan dapatkan modal untuk anda janakan lagi emas anda. Jangan sia-siakan modal yang diberikan kepada anda.

Lain kisahnya pula jika nda mempunyai emas perhiasan seperti gelang dan rantai, dan anda takut untuk tinggalkannya di rumah semasa anda pulang ke kampung halaman. Anda boleh jadikan Ar-Rahnu sebagai tempat untuk anda menyimpan sebentar emas anda untuk tempoh beberapa hari sementara anda berada di kampung halaman.

#7 Maklumkan kepada waris

Jika sebelum ini, saya katakan kepada anda jangan beritahu sesiapa pun yang anda anda emas dan menyimpan emas kan? Tapi saya juga ada katakan anda boleh maklumkan kepada suami, isteri atau waris anda.

Suami, isteri atau waris adalah orang yang akan memegang harta anda selepas anda tiada. Jadi, anda harus memaklumkan kepada mereka di mana anda menyimpan emas-emas anda supaya jika berlaku sesuatu, emas anda masih lagi boleh diwarisi dan digunakan.

Sebab ada banyak aje kes di mana isteri simpan emas dalam barangan elektronik tapi tak bagitahu suami kat mana emas tersebut disimpan. Bila barang tersebut rosak, suami buang atau hantar pergi repair, tahu-tahu emas dah hilang. Kan buat rugi diri sendiri..

Tambah lagi ada kes seorang perempuan beli emas tapi tak maklumkan kepada waris simpan di mana. Bila wanita tersebut meninggal, hartanya tak dapat diwarisi kerana tak ada siapa tahu di mana emas tu disimpan.

Sebab itu anda kena maklumkan kepada waris. Supaya mereka boleh menguruskan harta anda dengan baik.

Kalau anda rasakan tips-tips ini berguna, anda boleh tekan butang SHARE dan LIKE posting ini.

Dapatkan Ebook

'Knowledge Trading Version 2' Sekarang!

You have successfully subscribed to the newsletter

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Ir Sofian will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.